Ketua Menteri harap Thaipusam diraikan dalam suasana aman dan harmoni

Admin

KEBUN BUNGA – Para penganut agama Hindu dan pelancong mula membanjiri Jalan Utama dan Jalan Kebun Bunga di sini bagi meraikan sambutan Thaipusam.

Tinjauan Buletin Mutiara petang tadi mendapati keadaan di sekitar kawasan tersebut sesak dan jumlah pengunjung dijangka bertambah sehingga menjelang esok.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow turut tidak ketinggalan meraikan sambutan Thaipusam tahun ini dengan berjalan mengunjungi ‘thanir panthal’ atau barisan khemeh-khemeh kecil yang menyajikan kudapan sepanjang Jalan Utama ke Jalan Kebun Bunga.

Ketika ditemui selepas walkabout kira-kira dua jam berkaitan, beliau menyatakan bahawa sambutan Thaipusam di negeri ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.

Malah, Kon Yeow berharap sambutan Thaipusam tahun ini dapat disambut dalam suasana aman dan harmoni.

“Saya juga berharap, para penganut dapat menunaikan kewajipan masing-masing dan melakukan acara keagamaan dengan baik dan teratur.

“(Dan) dalam semangat Malaysia Baharu ini, saya berharap kita dapat lihat sambutan Thaipusam yang lebih meriah dan harmoni,” ujarnya yang turut menzahirkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan, badan-badan amal dan keagamaan, pihak kuil, badan-badan korporat dan individu yang menjayakan sambutan Thaipusam tahun ini.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy menjangkakan lebih daripada satu juta pengunjung akan hadir ke Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthanpani di Jalan Kebun Bunga di sini.

“Kita (jawatankuasa sambutan Thaipusam) menjangkakan lebih satu juta penganut dan pelancong akan hadir pada sambutan kali ini yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini.

“Pagi ini, perarakan pedati telah memulakan perjalanan ke puncak (bukit), esok adalah hari Thaipusam yang mana para penganut akan membayar nazar dan mendapatkan restu daripada Dewa Murugan, manakala lusa pula akan melibatkan perjalanan pulang pedati ke kuil asal,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN