Ketua Menteri harap Undi18 Edisi Pulau Pinang buka lembaran baru negara

KETUA Menteri seusai menyampaikan ucapan perasmian sempena Bengkel Undi18: Edisi Pulau Pinang yang dilangsungkan secara hibrid dari KOMTAR pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini yang diterajui Pakatan Harapan mara selangkah lagi dengan menganjurkan Bengkel Undi18: Edisi Pulau Pinang dengan melibatkan 85 anak jati negeri yang berkelayakan serta berkaliber.

Mereka akan melalui tujuh bengkel penting bermula pada bulan ini dan awal Disember (2021) yang dikelolakan secara bersama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Undi18 serta agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

ANTARA yang mengikuti sesi ucapan Ketua Menteri semasa acara perasmian Bengkel Undi18: Edisi Pulau Pinang tadi.

Semasa menyampaikan ucapan perasmian, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berharap segala usaha bersama tersebut akan membina barisan pelapis kepemimpinan dalam kalangan anak muda yang berkaliber serta berwawasan; seterusnya akan menyumbang kepada agenda pembangunan negeri dan negara suatu hari nanti.

“Seperti mana yang semua sedia maklum, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 1 September 2021 dengan sokongan penuh merentasi parti telah meluluskan pengubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan Pulau Pinang (Pindaan 2021) yang membenarkan had usia kelayakan umum calon bagi kerusi DUN diubah daripada 21 tahun kepada 18 tahun dalam pilihan raya akan datang.

“Dengan kelulusan pengubalan undang-undang ini, ia adalah bukti komitmen serta kesediaan berterusan kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan) untuk menerima dan mempersiapkan Pulau Pinang pada masa hadapan.

“Dan, kita (Kerajaan Negeri) berharap kempen Undi18 ini dapat membuka satu lembaran yang baru kepada negara kita,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong dalam sesi telesidang berkaitan di sini pada 6 November 2021.

(Dari kiri) GWEE Sai Ling, Ketua Menteri dan Soon Lip Chee semasa acara gimik perasmian pembukaan Bengkel Undi18: Edisi Pulau Pinang tadi.

Bersamanya, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal dan Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya terpanggil memberi sokongan kepada kempen Undi18 kerana ia adalah selari dengan teras ketiga Visi Penang2030 ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’ iaitu memperkasakan rakyat untuk memperkukuhkan penyertaan awam.

Sementara itu, Lip Chee menyatakan bahawa Undi18 bakal dilaksanakan mulai bulan Januari 2022 dengan pendaftaran pemilih secara automatik yang bakal meningkatkan bilangan pengundi muda berumur 30 tahun dan ke bawah iaitu kira-kira 3.9 juta orang yang mana 1.3 juta seusia antara 18 hingga 20 tahun.

“Sehubungan itu, golongan belia sedia ada perlu dipersiapkan diri untuk menjadi pemimpin-pemimpin belia yang berkaliber bagi mendepani cabaran kepimpinan negeri dan negara yang lebih luas,” ujarnya sambil berharap negeri-negeri lain turut menyertai kempen Undi18 yang digerakkan oleh NGO berkenaan.

Manakala, Pengasas Bersama Undi18, P. Tharma semasa menyampaikan ucapan alu-aluan merakamkan penghargaan atas komitmen Kerajaan Negeri dan PYDC kerana komited menyokong kempen yang dilaksanakan oleh NGO berkenaan.

“Daripada 135 peserta yang menyertai bengkel ini, 85 orang adalah anak Pulau Pinang yang dipilih selepas melalui sesi penapisan oleh barisan panel berkaliber,” ulasnya sambil berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi peluang kepada pemimpin muda menjadi calon dalam pilihan raya serta menyertai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Difahamkan, Bengkel Undi18 Edisi Pulau Pinang bermula pada hari ini hingga 4 Disember depan.

Para peserta akan melalui tujuh bengkel khusus yang membincanghkan pelbagai topik seperti berikut:-

Bengkel 1 : Kewangan dan Pendanaan Politik

Bengkel 2 : Prosedur Parlimen

Bengkel 3 : Proses Membuat Dasar Peringkat Persekutuan dan Negeri

Bengkel 4 : Kempen Digital

Bengkel 5 : Kemahiran Komunikasi Bersama-sama Media

Bengkel 6 : Memahami Belanjawan Negara

Bengkel 7 : Pengenalan Pada Pembaharuan Institusi

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : CHAN KOK KUAN