BAYAN LEPAS – Peranan aktif dimainkan oleh Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat Melayu khususnya di negeri Pulau Pinang adalah amat dihargai.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam Silaturahim sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini sebentar tadi.
“Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, saya amat menghargai peranan PEMENANG dalam menggalas tanggungjawab sosial dan memperjuangkan kepentingan masyarakat Melayu, khususnya di Pulau Pinang dalam kerangka sebuah negeri yang mengamalkan semangat inklusif dan harmoni.
“Hakikatnya, kesepaduan ini merupakan antara aspek paling penting bagi memastikan pembangunan yang seimbang dalam aspek ekonomi dan sosial.
“Saya berjanji, selama mana saya menjalankan amanah sebagai Ketua Menteri di negeri berdaulat ini, Kerajaan Negeri akan terus menyokong segala usaha murni yang bersifat membina serta menyatupadukan rakyat,” katanya pada majlis berkaitan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Hadir sama, Presiden PEMENANG, Tan Sri Dr. Mohd. Yussof Latiff; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran serta dif-dif kehormat yang lain.
Kon Yeow menyatakan beliau juga percaya bahawa dengan iltizam dan kerjasama kukuh antara kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PEMENANG, ia akan memastikan matlamat pembangunan yang seimbang dan mampan untuk semua dapat dicapai.
“Semoga hubungan erat dan kesepakatan antara kaum, rakyat dan kerajaan yang ditonjolkan di Pulau Pinang menjadi aspirasi kepada lain-lain negeri di seluruh negara.
“Malah, Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim ketika hadir dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Madani baru-baru ini juga memuji dan menyifatkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri perpaduan kaum di Malaysia.
“Sebagai salah seorang pemimpin dalam era Kerajaan Perpaduan, saya mengharapkan hubungan harmoni seperti ini akan terus kekal sampai bila-bila.
“Tiada yang lebih menguntungkan apabila rakyat negara ini yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa serta agama dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Yussof ketika berucap sebelum itu menyatakan bahawa PEMENANG sedang merancang untuk membangunkan projek Enclave Melayu melibatkan kawasan Jalan Pattani, Jalan Perak dan Jalan Sungai Pinang.
“Objektif projek ini adalah untuk membantu orang Melayu memiliki rumah sendiri terutamanya di kawasan bandar,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR