Ketua Menteri inginkan Pulau Pinang menjadi Negeri berdaya huni dan kondusif

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow inginkan Pulau Pinang menjadi sebuah negeri yang bukan sahaja berdaya huni malah juga kondusif.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tanjong dan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota yang diadakan di Kompleks Jalan Kedah dekat sini tadi.

Menurut Kon Yeow, setiap rakyat perlu berganding bahu dan berusaha gigih dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang sesuai bukan sahaja untuk para pelabur dan kapten industri, malah juga bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjalankan tanggungjawab sosial demi membantu rakyat.

“Rakyat di negeri ini perlu sama-sama berusaha menjadikan Pulau Pinang sesuai untuk pelaburan, mampu mewujudkan peluang pekerjaan, (sesuai) menjalankan perniagaan, sesuai untuk pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) menjalankan aktiviti kebajikan serta sesuai dihuni bagi meningkatkan lagi taraf dan kualiti hidup semua.

“Baru-baru ini, ada satu berita gembira apabila Pulau Pinang berjaya menarik pelaburan menggalakkan dalam tempoh 3 bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak RM8.8 bilion…ia adalah suatu rekod cemerlang meskipun masih ada baki sembilan bulan bagi tahun 2019 ini.

“(Dan) saya yakin dengan usaha gigih semua rakyat dan iklim pelaburan dunia yang kian baik, kita (Pulau Pinang) mampu melepasi rekod RM10 bilion (jumlah pelaburan) yang pernah dicapai pada 2017,” ujarnya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang turut memberi sokongan serta kerjasama dalam pembangunan negeri ini.

CHOW Kon Yeow ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tanjong dan KADUN Padang Kota, tadi.

Tambah Kon Yeow, beliau amat bersyukur apabila diberi peluang untuk menerajui Pulau Pinang sebagai Ketua Menteri yang kelima.

“Saya bersyukur dan amat menghargai segala kesempatan yang diberikan (bukan sahaja) untuk terus berkhidmat di kawasan ini (KADUN Padang Kota), tetapi juga memimpin Pulau Pinang.

“Semoga melalui penganjuran majlis sebegini…semangat kemuafakatan dan suasana harmoni (yang dinikmati) kini akan memberi peluang untuk kita saling bantu-membantu dan memahami adat resam setiap kaum di negeri ini,” katanya yang mahu memastikan setiap rakyat dapat menikmati hasil kemajuan serta pembangunan di Pulau Pinang.

Usai berucap, Kon Yeow meluangkan masa menyantuni tetamu yang hadir ke majlis berkaitan.

Malah, beliau turut melawati meja ke meja jamuan bersalaman dan memberikan duit raya kepada tetamu cilik yang turut teruja memeriahkan majlis.

CHOW Kon Yeow menyampaikan duit raya kepada salah seorang tetamu cilik yang turut memeriahkan majlis berkaitan.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen serta Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng dan Gerald Mak Mun Keong antara tetamu jemputan kehormat yang hadir.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Transfer/Jalan Argrll, Lee Beng Swee serta beberapa wakil Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) setempat; pimpinan NGO di Padang Kota dan pimpinan parti Pakatan Harapan kawasan Tanjong.

Difahamkan, sambutan majlis rumah terbuka bagi Hari Raya Aidilfitri diadakan saban tahun secara tradisi di Kompleks Jalan Kedah sejak Kon Yeow dipilih menjadi wakil rakyat bagi KADUN Padang Kota.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN