Ketua Menteri jelas opsyen tingkat hasil Kerajaan Negeri

Admin
4efc443b 87e2 49d9 be64 f91e47b61029

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa sekurang-kurangnya terdapat tiga opsyen untuk meningkatkan hasil Kerajaan Negeri yang mana sekali gus menangani kebimbangan kekangan kewangan semasa di Pulau Pinang, kini.

Opsyen pertama, Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkenaan menjelaskan bahawa Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat semakan cukai tanah berdasarkan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828), bagi tanah bermilik sekurang-kurangnya 10 tahun sekali.

“Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mempunyai bidang kuasa untuk menyemak cukai tanah bagi tanah bermilik sekurang-kurangnya 10 tahun sekali.

“Cukai tanah di negeri ini telah disemak pada tahun 1970, 1984 dan 1994. Justeru, kali terakhir semakan cukai tanah di negeri ini ialah pada tahun 1994 tetapi ianya hanya berkuat kuasa pada tahun 1996,” jelasnya semasa sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 30 Mei 2024.

Opsyen kedua pula, Kon Yeow menyatakan bahawa Pihak Berkuasa Negeri melaksanakan rebat tunggakan cukai tanah dan petak sebanyak 50 peratus sehingga 31 Mei 2024.

“Cadangan ini adalah berdasarkan kepada Seksyen 14(1)(j), Akta 828 yang mana membenarkan Pihak Berkuasa Negeri membuat peruntukan mengenai pemungutan, pengurangan, perebatan, pembayaran secara ansuran atau penangguhan berkaitan pembayaran cukai.

“Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk membuat semakan pengiraan semula denda lewat bagi cukai tanah dan cukai petak di Pulau Pinang memandangkan ia melibatkan pengenaan denda ke atas denda,” ujarnya sambil menjelaskan tarikh pengiraan baharu denda lewat ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024.

Langkah itu, menurut Kon Yeow, hanya dikenakan kepada pembayar cukai tanah serta cukai petak yang gagal membuat pembayaran sebelum 31 Mei setiap tahun seperti mana yang telah ditetapkan di bawah Kanun Tanah Negara.

“Pengenaan denda lewat cukai tanah dan cukai petak di negeri Pulau Pinang dikira berdasarkan cukai tahunan sahaja dan tidak melibatkan jumlah tunggakan cukai serta tunggakan denda lewat secara keseluruhan.

“Kadar denda lewat yang dikenakan adalah masih sama iaitu sepuluh peratus bagi cukai tanah dan lima peratus bagi cukai petak,” ulasnya sambil memberitahu bahawa pengiraan baharu denda lewat tersebut bukan berbentuk retrospektif dan tidak terpakai kepada orang awam yang telah membuat pembayaran tunggakan denda lewat sebelum tarikh semakan semula pengiraan denda lewat ini dikuatkuasakan.

Sementara opsyen ketiga, Kon Yeow memberitahu bahawa cadangan untuk pelaksanaan pengkelasan semula tanah desa ke tanah bandar yang mana sejak 54 tahun lepas sempadan bagi 16 bandar tidak pernah dipinda.

“Sebagai makluman, terdapat sempadan bagi 16 bandar-bandar ini tidak pernah dipinda sejak 54 tahun lalu walaupun kawasan di sekitarnya telah melalui pembangunan pesat melibatkan tanah-tanah desa yang mana bandar-bandar berkaitan dicadangkan diubah sempadannya dengan memasukkan kawasan-kawasan dibangunkan dan yang telah diluluskan Kebenaran Merancang oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

“Cadangan untuk meminda sempadan bandar dan pewujudan bandar baharu adalah mengambil kira pembangunan sedia ada yang telah memenuhi kehendak perancangan seperti Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang, Rancangan Tempatan Daerah serta memenuhi kriteria penubuhan bandar-bandar baru di bawah Dasar Perbandaran Negara yang merupakan satu dasar sektoral dalam Rancangan Fizikal Negara.

“Bandar-bandar baru yang dicadangkan ini adalah merupakan bandar utama dan bandar tempatan yang telah disenaraikan dalam Dasar Perbandaran Negara bagi Negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Tiga opsyen itu dikemukakan Kon Yeow sebagai respons pada perkara yang dibangkitkan oleh ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACO