Ketua Menteri ke Seri Mutiara, TYT perkenan bubar DUN Pulau PInang

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) menyerahkan proklamasi pembubaran DUN Pulau Pinang kepada Chow Kon Yeow (dua dari kiri) di Seri Mutiara sambil disaksikan oleh Mohd. Sayuthi Bakar (dua dari kanan), Roslinda Mohd. Shafie (kiri sekali) dan Zabidah Safar (kanan sekali) pada 27 Jun 2023.

GEORGE TOWN : Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow awal pagi ini diterima mengadap Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di kediaman rasmi Seri Mutiara bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada esok, 28 Jun 2023.

Turut mengiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Penasihat Undang-Undang Negeri, Roslinda Mohd. Shafie dan Pegawai Kewangan Negeri, Zabidah Safar.

TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak menurunkan tandatangan memperkenan proklamasi pembubaran DUN Pulau Pinang esok (28 Jun 2023) sambil disaksikan oleh Chow Kon Yeow di Seri Mutiara di sini pada awal pagi tadi.

Tun Ahmad Fuzi pada 8.01 pagi menandatangani proklamasi pembubaran DUN Pulau Pinang.

Buletin Mutiara difahamkan, Kon Yeow akan mengadakan pertemuan dengan semua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang pada petang ini, sebelum menyerahkan proklamasi pembubaran DUN kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota mencadangkan pembubaran DUN Pulau Pinang pada 28 Jun 2023.

Selain Pulau Pinang, lima lagi negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

Di DUN Pulau Pinang, Pakatan Harapan (PH) memenangi 37 kerusi, dua Barisan Nasional (BN) dan satu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Pasca Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020 peringkat Putrajaya bukan sahaja membawa peralihan tampuk kepimpinan Kerajaan Persekutuan daripada tangan PH kepada Perikatan Nasional (PN), malah turut membawa empat kerusi DUN iaitu Seberang Jaya, Sungai Acheh, Teluk Bahang dan Bertam dari blok parti pemerintah (PH) ke blok pembangkang Pulau Pinang.

Tarikh PRN di enam negeri termasuk Pulau Pinang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Di Pulau Pinang, PH bersama-sama BN akan berganding bahu bagi menghadapi PN dalam PRN nanti, mengambil kira kejayaan penubuhan ‘Kerajaan Perpaduan Malaysia’ pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada pertengahan bulan November tahun lepas.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING