PULAU TIKUS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini berkongsi intipati perbincangan beliau ketika mengiringi Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim yang tiba di Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dekat Bayan Lepas bersempena lawatan rasmi ke negeri ini semalam.

“Sebenarnya (Perdana Menteri) bukan nak mengumumkan apa-apa projek.
“Saya pun terharu apabila Y.A.B. menjemput saya menaiki kereta bersama-sama beliau…dalam 10 minit perjalanan dari PIA ke USM (Universiti Sains Malaysia) sekurang-kurangnya ada masa untuk saling berbincang serta mengemaskini status beberapa projek yang sebelum ini telahpun diberikan kelulusan (pada peringkat Kerajaan Persekutuan) termasuk LRT (transit aliran ringan), projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).
“(Dalam ruang masa perbincangan bersama-sama Perdana Menteri itu,) saya juga membangkitkan isu Skim penyaluran air mentah Sungai Perak (SPRWTS) dan cabaran terkini adalah isu kesesakan lalu lintas di negeri ini,” jelasnya kepada pemberita seusai menyempurnakan Majlis Pelancaran Penang SEED (Penang Strategy for Economic Ecosystem Development) di sini pada 12 Jun 2023.
Respons Kon Yeow itu sekali gus menjawab pelbagai tanda tanya di sebalik beberapa keping gambar berkaitan lawatan kerja Anwar ke Pulau Pinang semalam yang disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina tertentu pada hari ini.
Semalam, Anwar dilaporkan turut mengadakan jerayawara ke suatu majlis rakyat di perkarangan Masjid Daerah Barat Daya dekat Kampung Permatang Tengah, Parlimen Balik Pulau.
Semasa berucap, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan untuk membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyelesaikan masalah berkaitan jika melibatkan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Saya mintalah agenda (pembangunan ekonomi negeri rakyat) Pulau Pinang semakin kukuh.
“Mintalah Ketua Menteri (YAB Tuan Chow Kon Yeow), yang mana kita boleh selesaikan peringkat Kerajaan Persekutuan, akan kita usahakan,” ujarnya sambil menyifatkan hubungan pentadbiran antara ‘Kerajaan Perpaduan’ peringkat Persekutuan dan Kerajaan Negeri hari ini adalah kian erat.
Selain itu, beliau turut mengulas mengenai isu Menteri Besar Kedah yang mendakwa ada ‘sandaran’ (bukti) untuk menuntut balik negeri Pulau Pinang.
Kata Anwar, di Kedah ada pelbagai isu rakyat seperti pembangunan tidak seimbang dan pekerjaan berkualiti yang sepatutnya menjadi tumpuan pentadbiran Menteri Besar berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menyatakan bahawa pihaknya berharap pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini yang dipimpin oleh ‘orang cerdik’ akan terus mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) demi memacu pembangunan ekonomi rakyat ke tahap lebih baik.
“(Menteri Besar Kedah) nak ambil alih Pulau Pinang…jadi orang Pulau Pinang bagi orang cerdik perintah, tolonglah.
“Saya berhubung rapat dengan Ketua Menteri (Kon Yeow), apa yang kita (Putrajaya) boleh selesaikan di peringkat Pusat kita akan selesaikan,” ulasnya lanjut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SIEW CHIA EN