Ketua Menteri lancar projek pecah tanah Nibong Tebal Arena, kos RM8.8 juta

Admin
GIMIK pelancaran Majlis Pecah Tanah Projek Pemajuan Nibong Tebal Arena di Jawi pada awal pagi tadi.

JAWI – Kerajaan Negeri akan membina Nibong Tebal Arena di atas bekas tapak kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) seluas 1.808 ekar di sini dengan anggaran kos RM8,781,388.25.

KETUA Menteri

Semasa mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap cadangan projek pembinaan sembilan gelanggang badminton atau dewan serbaguna tersebut mampu memberi nilai tambah kepada kemajuan pembangunan di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) terutama Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi.

“Kerajaan Negeri akan sedaya-upaya memastikan bahawa kemudahan di kawasan luar bandar adalah setaraf dengan kemudahan-kemudahan yang terletak di kawasan bandar.

“Cadangan projek pembinaan Nibong Tebal Arena ini merupakan salah satu daripada 68 janji ‘Saya ❤️ Pulau Pinang’ yang terkandung dalam Manifesto Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu,” jelasnya pada Majlis Pecah Tanah Nibong Tebal Arena di sini pada 12 Julai 2022.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa pihaknya berharap projek pemajuan Arena Nibong Tebal siap pada suku pertama tahun 2023.

“Dan, hari ini kita berpuas hati dengan 90 peratus kemajuan manifesto tersebut yang telah berjaya dilaksanakan sehingga 9 Mei 2022, dan peratusan ini akan terus meningkat apabila siapnya 12 manifesto yang kini berada dalam peringkat pelaksanaan iaitu salah satunya merupakan projek pembinaan Nibong Tebal Arena,” ujanrnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Turut berucap, Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium & Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP), Zul Kahar Khamis.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, ADUN Jawi, Jason dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Azhar Arshad antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis tersebut.

Difahamkan, komponen pemajuan di bawah projek Arena Nibong Tebal termasuk sembilan gelanggang badminton, kemudahan kerusi ‘retractable seatings’, pejabat dewan, viewing room, ruang pentas, bilik doping serta ruang penyediaan dewan serbaguna.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS