Ketua Menteri lawat Pinang Tunggal, dengar taklimat pembangunan eko pelancongan SPU

Admin

PINANG TUNGGAL – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengadakan kunjungan singkat ke Pusat Eko Pelancongan Seberang Perai Utara (SPU) di sini untuk melihat sendiri potensi pelancongan yang ada di kawasan berkaitan.

Beliau yang tiba pada jam 5 petang di Kampung Setoi, Pinang Tunggal kemudiannya diberi taklimat oleh pihak-pihak berkaitan mengenai perancangan pembangunan menyeluruh beberapa kawasan di SPU untuk diangkat sebagai produk pelancongan popular.

Chow Kon Yeow meneliti tanaman jagung milik petani tempatan.

Selesai taklimat, Kon Yeow dibawa melawat tanaman jagung yang diusahakan penduduk setempat sebelum menyertai kayuhan santai dan menikmati kesegaran air kelapa muda di kebun sayur-sayuran milik salah seorang petani tempatan.

Turut serta, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Exco Belia dan Sukan Soon Lip Chee; Pegawai Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas, Lay Hock Peng; Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta ramai lagi.

Ketua Menteri menikmati air kepala muda segar di kebun milik salah seorang petani tempatan.

Sementara itu, wakil pengusaha, Hoo Shyh Miin ketika memperincikan pelan pembangunan pelancongan SPU menekankan bahawa kawasan berkenaan sangat berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan ekopelancongan kerana kaya dengan pemandangan alam semula jadi dan tanah pertanian.

Justeru, menurut beliau, sebuah pusat ekopelancongan akan dibina sebagai pusat pengurusan yang bakal menawarkan pakej pelancongan lengkap untuk pengunjung ke kawasan berkaitan.

“Selain mengekalkan ciri-ciri kampung tradisional, pakej ini turut merangkumi lawatan ke beberapa lokasi menarik di sekitar Penaga seperti Kampung Agong yang terkenal dengan replika sarang burung bersaiz besar serta Pasar Bisik.

“Terima kasih diucapkan kepada petani di kawasan ini atas kerjasama yang ditunjukkan dan kami berharap agar rancangan ini dapat membantu menjana pendapatan penduduk tempatan selain dimanjakan sebagai kawasan eko pelancongan menarik,” katanya semasa memberikan taklimat, dekat sini semalam.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN