Ketua Menteri lulus RM150,000 naik taraf pusat sumber, fasiliti Sekolah Kebangsaan Taman Merak

45550371 368c 408d ad65 071fe2456401 KETUA Menteri (kanan sekali) dengan diiringi Roslinda Mohd. Khalib (dua dari kanan) memakaikan selendang Anugerah Kokurikulum kepada seorang pelajar semasa Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah yang dianjurkan serentak dengan Majlis Apresiasi Murid Tahun 6 dan Pelajar Pra-Sekolah di sini pada 27 Januari 2024.

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang meluluskan peruntukan berjumlah RM150,000 untuk cadangan projek penaiktarafan perpustakaan serta beberapa projek berkaitan lain seperti dimohon oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merak di sini pada 27 Januari 2024.

27a7f1b6 51c7 4315 94f7 94fe428b2a15
KETUA Menteri

Semasa membuat pengumuman tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya akan terus komited dalam membantu pembangunan sektor pendidikan di negeri ini, yang mana ia menyumbang kepada melahirkan modal insan berkualiti serta mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.

“PIBG telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peruntukan bagi menambah baik sedikit sebanyak pusat sumber di sekolah ini.

“Saya boleh menyokong permohonan ini dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM150,000,” jelasnya semasa merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah yang dianjurkan serentak dengan Majlis Apresiasi Murid Tahun 6 dan Pelajar Pra-Sekolah di sini tadi.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya akan terus memudahkan para pelajar daripada kelompok keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) untuk mengakses pendidikan berkualiti dengan menaja program tiusyen percuma kepada 1,500 peserta berkenaan ketika ini.

Bukan setakat itu sahaja, beliau yang juga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut memberitahu bahawa sejumlah RM60 juta peruntukan turut akan disalurkan kepada sekolah bantuan menjelang tahun 2030, sebagaimana yang terkandung dalam Manifesto Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang 2023.

Berucap sebelum itu, Guru Besar SK Taman Merak, Roslinda Mohd. Khalib merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow kerana sudi meluangkan masa bagi merasmikan tiga acara peringkat sekolah serta menyertai lawatan singkat bagi melihat keadaan kemudahan pendidikan di sekolah ini.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sektor Perancangan Daerah Seberang Perai Selatan, Islahuddin Zakariah dan Yang Dipertua PIBG SK Taman Merak, Mohd. Noor Hafiz turut sertai majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI