GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) tidak memiliki Pelan Pengangkutan Batu Kawan, namun hanya menjalankan kajian Lalu Lintas dan Pengangkutan Awam Bersepadu di Bandar Cassia, Batu Kawan.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa PDC juga terlibat dalam menyediakan Kajian Lalulintas (TIA) yang telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada 5 Disember 2018 sebagai panduan dalam perancangan pengangkutan dan lalu lintas.
“Keluasan tanah yang masih dalam rekod pegangan PDC…(antaranya) 2,946.7 ekar di Batu Kawan (untuk) tujuan pembangunan bercampur taman perindustrian dan perumahan mampu milik; timur Batu Kawan untuk tujuan pembangunan bercampur dan perindustrian (622.6 ekar); Taman Sains Pulau Pinang Selatan untuk tujuan perindustrian (173.9 ekar) dan Byram untuk tujuan perindustrian (782.7 ekar),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota sambil mendedahkan jumlah baki tanah milik PDC berbaki di Batu Kawan adalah kira-kira 4,525.9 ekar.
Kon Yeow yang Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi berkata demikian sebagai respons pada soalan bertulis yang dibangkitkan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik.
Oleh : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI