Ketua Menteri percaya reka bentuk, kajian kebolehlaksanaan projek lebuh raya persisir pantai ikut piawaian

Admin
4e7f792f d272 4762 852f 0bbf12ee49e9 KETUA Menteri memberi respons dwi isu tersebut dalam sidang media, seusai menyertai majlis berbuka puasa bersama-sama 100 guru KAFA, 50 anak yatim dan anak-anak kariah di perkarangan luar Masjid Jamek Al-Muhsi Simpang Tiga Tasek Gelugor di sini pada 24 Mac 2025.

PERMATANG BERANGAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow percaya bahawa syarikat konsesi bagi projek lebuh raya pesisir pantai baharu bernilai RM2.4 bilion yang menghubungkan Tanjung Bunga ke Batu Ferringhi dan Teluk Bahang, akan mengikut piawaian berwajib.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian ketika diminta mengulas ulasan pakar konon-konon projek jalan raya berkembar itu berisiko membawa insiden tanah runtuh, jika diteruskan kelak.

“Saya percaya syarikat konsesi melalui pasukan teknikal mereka akan buat kajian dan mereka bentuk jalan ini mengikut piawaian yang diperlukan termasuk isu-isu yang dibangkitkan oleh wakil NGO (pertubuhan bukan kerajaan),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Beliau memberi respond itu seusai menyertai majlis berbuka puasa bersama-sama 50 anak Yatim, 100 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dan anak kariah setempat di perkarangan luar Masjid Jamek Al-Muhsi Simpang Tiga Tasek Gelugor dekat sini pada 24 Mac 2025.

Sebelum ini, beberapa pakar dilaporkan memberi amaran bahawa projek lebuh raya persisir pantai atau North Coast Paired Road (NCPR) yang mahu diwujudkan akan mengakibatkan risiko tanah runtuh.

Pihak berkaitan antara lain menegaskan bahawa projek pemajuan jalan berkembar sepanjang 10.61 kilometer (km) itu akan melintasi beberapa sungai dan anak sungai, serta akan mengganggu corak saliran semula jadi penting yang membantu menstabilkan struktur bukit-bukau di kawasan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut memberi penjelasan di sebalik kerja-kerja penambakan laut berhampiran Persiaran Karpal Singh dan tapak pelupusan sampah Jelutong.

“(Kerja-kerja penambakan laut) itu dicadangkan oleh syarikat konsensi (untuk tujuan) pemulihan tapak pelupusan (sampah) Jelutong yang memerlukan (kawasan) penambakan untuk tempat mereka kerja serta (kerja-kerja) kitar semula.

“Mereka perlu membersihkan tapak (pelupusan sampah) itu dengan mengeluarkan sisa-sisa (termasuk) sisa-sisa yang akan dikitar semula,” responsnya lanjut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT