GEPRGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow percaya bahawa dasar-dasar baharu Kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri Ke-10 Malaysia akan terus membantu rakyat untuk bangkit semula selepas mengharungi pandemik COVID-19 kira-kira tiga tahun lepas.
Beliau menyatakan demikian semasa merasmikan Karnival Sungai Pinang dan Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama ikon animasi kanak-kanak, Boboiboy di perkarangan hadapan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dekat Jalan Ahmad Nor di sini pada 1 April 2023.
“Kita bersyukur setelah tiga tahun (sejak 2020), kehidupan kita semakin pulih, ekonomi kita pun semakin pulih, peratusan sosial masyarakat juga semakin pulih.
“Saya pasti kita senantiasa memberi perhatian kepada perkara yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri baharu, Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pendekatan dan dasar-dasar baharu serta usaha-usaha untuk menangani masalah kewangan negara iaitu kita (Kerajaan Persekutuan) memilili hutang yang begitu banyak, kita perlu membayar dengan kadar faedah begitu banyak.
“Dengan pengurusan (kewangan) yang baik, kita masih boleh menunaikan kewajipan kewangan kita, tetapi kita (Kerajaan Persekutuan) masih boleh menunaikan kewajipan kewangan kita tanpa menjejaskan isu-isu pembangunan negara dan juga kebajikan-kebajikan yang perlu disampaikan kepada rakyat jelata,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan & Ekonomi dan Komunikasi.
Selain itu, Kon Yeow yang jua ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Khidmat ADUN Sungai Pinang kerana berjaya menganjurkan karnival dengan penglibatan pelbagai kaum dalam semangat muhibah.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer semasa berucap antara lain turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana turut memberi peluang kepadanya untuk menyumbang 100 hamper dengan harga keseluruhan RM10,000 dan RM10,000 sumbangan tunai tambahan untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat sepanjang Ramadan.
Buletin Mutiara difahamkan Rapid Penang Sdn. Bhd., Zakat Pulau Pinang (ZPP), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) merupakan antara pihak yang membuka kaunter perkhidmat dan gerai pameran dalam karnival di sini.
Selain persembahan pentas, aktiviti menarik yang lain dalam karnival di sini termasuk jualan murah, program gunting rambut percuma, pemberian baucer RM3 untuk isi minyak petrol motosikal dan baucer RM50 subsidi menempah kaca mata.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT