Ketua Menteri perjelas status ambil tanah Mukim 12 pada era 1960-an

Admin
e0754406 caf8 4f23 bde0 97e64c72d37c KETUA Menteri

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri masih meneliti isu-isu berbangkit berkaitan pengambilan tanah yang telah berlaku di Mukim 21 Seberang Perai Tengah (SPT) untuk pembinaan jalan raya utama dari Guar Jering ke Kampung Terus dekat Kawasan Dewam Undangan Negeri (KADUN) Penanti.

Demikian respons Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebagai menjawab Soalan Lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Zulkifli Bakar sempena persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 27 November 2024.

“Dan terkini, kita akan mewartakan lot-lot yang berkaitan untuk (tujuan) pengamilan (tanah),” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota.

Dalam sesi soalan tambahan selepas itu, Zulkifli menyatakan bahawa dalam laporan berita Sinar Harian hari ini antara lain melaporkan Jabatan Jenayah Komersial Bukit Aman telah membuka kertas siasat di salah satu daerah di negeri Selangor berkenaan penipuan pemilikan geran tanah dan hal-hal bersangkutan dengan kerja yang tidak betul pertadbiran di sana.

Sehubungan itu, beliau bertanya, bolehkah Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah Daerah (PTD) menubuhkan jawatankuasa untuk memantau dan menangani isu pertikaian ketuanpunyaan tanah yang telah berlaruran lama di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

“Sehingga hari ini berlarutan di Mukim 21, ada 43 lot dan di Mukim 18 ada juga.

“Jadi, di tempat-tempat lain sekitar Pulau Pinang ini mungkin ada juga isu pampasan tidak berbayar berlaku,” ujarnya sambil mencadangkan Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani isu malar segar tersebut.

Dalam reaksi balas, Kon Yeow memberitahu bahawa isu pampasan tidak berbayar melibatkan 43 lot di Mukim 21 Penanti tersebut berlaku pada tahun 1960-an.

“Bagi menjawab soalan Yang Berhormat Penanti, adalah suatu kes yang berlaku itu mungkin pada zaman 1960-an.

“Jalan itu pun sudah dibina dan dipakai sekarang, tetapi urusan pengambilan tanah tidak dihabiskan sehingga geran sambungan dikeluarkan atas bahagian-bahagian yang tidak diambil oleh Kerajaan (Negeri) untuk tujuan pembinaan.

“Maka, atas rungutan sebahagian penduduk, walaupun kes (berlaku pada 1960-an), kita (sebagai) Kerajaan Negeri memandang berat atas usaha mantan ADUN Penanti,” ulasnya lanjut.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB