Ketua Menteri puji acara anugerah 40 Tokoh Maal Hijrah CMS

Admin
e6a09a99 2b5f 47d4 a470 b5712e2ef6f3 KETUA Menteri (tiga dari kiri) turut meraikan beberapa Tokoh Maal Hijrah 1446H anjuran Central Muslim Society (CMS) di sini pada 26 Julai 2024.

GEORGE TOWN – Bekas Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed antara 40 penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Tahun 1446H/2024M yang dianjurkan Central Muslim Society (CMS) di sini pada 26 Julai 2024.

2dcab06b 30f2 416e 8fc8 dc84c21a2904
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam ucapannya memuji usaha pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan dalam menganjurkan aktiviti kemasyarakatan serta memperkasa rakyat peringkat lokal selama ini.

“Saya juga amat berbangga apabila mengetahui bahawa majlis ini merupakan acara tahunan yang ke-10.

“Sesungguhnya, penganjuran Majlis Tokoh Maal Hijrah Tahun 1446H pada malam ini melambangkan kesinambungan kerjasama antara gabungan lima persatuan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sosial dalam negeri ini,” jelasnya semasa menyempurnakan acara perasmian majlis tersebut.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, acara penyampaian anugerah yang dianjurkan CMS pada malam ini adalah selari dengan Visi Penang2030 serta gagasan Malaysia Madani dengan tema ‘Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI’.

Pada sidang media selepas itu, Kon Yeow berkata bahawa pihaknya percaya acara penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah yang dianjurkan akan membakar semangat sekalian anggota CMS untuk memperkasa komuniti setempat.

“Saya percaya Anugerah (Tokoh Maal Hijrah) ini akan menyuntik semangat kepada para penerima untuk terus aktif lagi dalam bidang-bidang berkenaan, supaya mereka dapat membantu komuniti dan masyarakat setempat,” ujarnya.

Difahamkan, penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah dianjurkan oleh umat Islam sempena sambutan Awal Muharam saban tahun, mengikut kalender Hijrah.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut memuji CMS atas kejayaan melancarkan Bahagian Wanita dan Pemuda peringkat NGO berkenaan.

Presiden CMS merangkap Presiden Hidayathul Islam, Mohamed Hassan Othuman; Presiden Persatuan Anjuman Himayathul Islam merangkap Pengerusi Pengelola Majlis Tokoh Maal Hijrah CMS, Dato’ Abdul Kadir Haja Mydin turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Wong Yo Hao iaitu wakil kepada Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; Pengarah Hal Ehwal Kerajaan Cargill Malaysia, Abdul Rahman Abu Haniffa; Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Fazilah Shaik Allaudin dan Pengarah Pendidikan Negeri, Abdul Said Hussain.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & video: SIEW CHIA EN