GEORGE TOWN – Seramai 100 pelajar terpilih sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota masing-masing menerima baucar Program Ceria Ke Sekolah yang masing-masing bernilai RM200 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sebelum menyampaikan baucar bantuan tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam ucapannya memuji program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan secara konsisten oleh TNB sejak lapan tahun lepas di sini.
“Saya dimaklumkan bahawa sejak lapan tahun lalu, TNB tanpa gagal telah menceriakan anak-anak sekolah dengan sumbangan pelbagai peralatan persekolahan menerusi Program Ceria Ke Sekolah yang secara tidak langsung turut membuktikan pihak berkaitan adalah seiringan dengan Kerajaan Negeri ke arah merealisasikan gagasan Visi Penang2030 sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan di sini pada 2 Mac 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa pentadbirannya sehingga kini komited melaksanakan Manifesto Perpaduan 2023 demi memastikan percambahan modal insan terus diperkasakan di negeri Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa komitmen yang dimaksudkan antaranya peruntukan RM60 juta untuk sekolah bantuan menjelang tahun 2030.
Selain itu, Kon Yeow turut memberitahu bahawa pentadbirannya komited menyalurkan bantuan kewangan serta biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS).
“Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang juga komited) mewujudkan tuisyen percuma kepada 1,500 pelajar setiap tahun dengan tumpuan diberikan kepada golongan B40 serta menyumbangkan komputer riba percuma kepada pelajar dari golongan B40 (keluarga berpendapatan 40 peratus paling rendah) yang memperoleh tawaran ke IPTA,” ujarnya.

Turut berucap, Pengurus Besar TNB Pulau Pinang, Dato’ Haji Ismail Lathifi Teh.
Hadir sama, Ketua Zon Aset Utara TNB, Ir. E. Anan; Pengurus Kanan TNB Negeri, Datin Ratnawati Mat Jusuk; serta dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Benji Ang Ming Quan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS