GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini yang diterajui Pakatan Harapan akan terus berusaha meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat terutama kelompok isu rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa merasmikan Kempen Pemeriksaan dan Penyelenggaran Motosikal Honda Secara Percuma di perkarangan Komtar Walk dekat sini pada 20 Ogos 2022.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Honda kerana menaja program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk 100 motosikal jenis Honda milik B40 dengan kos keseluruhan kira-kira RM25,000.
“Hari ini, sebanyak 100 motosikal daripada isi rumah berpendapatan rendah B40 telah dipilih dan akan diberikan pemeriksaan serta servis secara percuma.
“Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk penukaran minyak motor, pembersihan enjin motor dan penggantian bahagian yang rosak seperti palam pencucuh, sproket serta bateri.
“Lazimnya, set lengkap perkhidmatan ini akan menelan belanja pemilik bernilai RM250, menjadikan jumlah anggaran perbelanjaan hari ini hampir RM25,000.
“Tahniah kepada Honda atas inisiatif dan usaha mereka untuk terus menyediakan bantuan dan sokongan kepada komuniti setempat kita,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong dalam majlis berkaitan di sini menjelang tengah hari tadi.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut merakamkan penghargaan atas komitmen Honda sebelum ini yang menaja pasukan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia membuat kajian punca kemalangan jalan raya serta kemalangan jiwa di negeri ini.
“Saya yakin hasil kajian ini bukan sahaja memberi manfaat kepada negeri Pulau Pinang, malah juga negara secara umumnya,” ujarnya.
Selain Kon Yeow, ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Pengurus Kanan Bahagian Khidmat Pelanggan Honda, Hiroshi Katsukava turut berucap dalam majlis tersebut.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Ahmad Zuhairi Ismail; Pengurus Khidmat Pelanggan Honda, ‘Tuan Romi’, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Mecalister, Dato’ Cheah Sze Phatt; Pengerusi MPKK Taman Trafik, Ong Lin Teong dan koordinator program, Loo Jia Jia.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS