Ketua Menteri puji CSR Perjuanita sempena Ramadan

Admin
KETUA Menteri (dua dari kanan) diiringi isteri, Puan Tan Lian Kee (tiga dari kiri), Fatimah Kader (empat dari kiri) dan tiga tonggak NGO Perjuanita lain merakamkan gambar kenang-kenangan selepas Majlis Berbuka Puasa dan Acara Sumbangan Ramadan di Kompleks MJMC di sini pada 27 Mac 2023.

GEORGE TOWN – Seramai 100 ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU), anak yatim dan golongan terpilih dalam kelompok keluarga berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) diraikan dalam majlis berbuka puasa dan acara penyampaian bantuan anjuran Persatuan Kemajuan Wanita Pulau Pinang (Perjuanita).

KETUA Menteri semasa menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis berkaitan di sini pada petang tadi.

Semasa merasmikan majlis tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan dalam menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) demi membantu golongan terpilih berkenaan tanpa mengira bangsa.

Kata Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, perjuangan Perjuanita itu sebenarnya adalah selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri yang mahu melihat semangat perpaduan dan muhibah terus subur dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini termasuk negeri Pulau Pinang.

“Syabas dan tahniah juga kepada Perjuanita yang saban tahun tidak pernah melepaskan peluang untuk menganjurkan acara ini, bagi bersama-sama berkongsi rezeki terutama dengan mereka yang memerlukannya.

“Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR), saya kira ini merupakan aktiviti sosial yang sangat bagus sekali.

“Inilah yang menjadi kekuatan serta kelebihan kita di negeri Pulau Pinang selama ini dan diharapkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan ini akan terus terpelihara,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis berkaitan di Kompleks Persatuan Saudagar-Saudagar Permata Dan Penukar Wang Muslim Pulau Pinang (MJMC) dekat Lebuh Ah Guee di sini pada 27 Mac 2023.

Isteri kepada Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee yang juga Penasihat Perjuanita; ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Dato’ Dr. Haji Anvar Hussein (Presiden Panaikulam Malaysia merangkap Presiden MJMC); Presiden Al- Ehsan Malaysia, Dato’ Seri Muhamad Rizwan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Barkath Sdn. Bhd., Dato’ Seri Haji Barkath Ali dan Pengarah Urusan Shaik Impex Events merangkap Eksekutif Pemasaran Antarabangsa dari Chennai, Tamil Nadu, Janab Shaik Mohamed turut sertai majlis keraian sempena Ramadan tersebut.

FATIMAH Kader

Sebelum itu, Pengasas merangkap Pengerusi Perjuanita, Fatimah Kader antara lain turut merakamkan penghargaan kepada Lean Kee kerana sangat memberi sokongan lepada perjuangan Perjuanita dalam membentu kelompok terpilih di Pulau Pinang.

Fatimah yang ditemui kemudian memberitahu bahawa majlis berbuka puasa dengan Kon Yeow dan beberapa ahli korporat pada hari ini antara lain turut bertujuan untuk membantu promosi produk-produk lokal yang dikeluarkan oleh para usahawan wanita dalam Perjuanita sendiri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ALISSALA THIAN