GEORGE TOWN – Perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Integrasi Ketua Menteri Pulau Pinang 2024 di Stadium Bandaraya pada petang tadi menyaksikan pasukan Parlimen Jelutong muncul juara selepas menewaskan pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi sepakan penalti 5-4.
Sebelum menyampaikan hadiah kepada para pemenang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow antara lain memuji Kelab Bola Sepak Sri Tanjong selaku penganjur kejohanan yang konsisten menganjurkan saingan bola sepak peringkat lokal dengan tujuan mengerat ikatan persaudaraan dan semangat muhibah serta menyatupadukan rakyat setempat.
“Secara tidak langsung, kelab juga telah membantu Kerajaan Negeri dalam usaha mencapai Visi Penang2030 melalui Tema C (iaitu) ‘Memperkasa Rakyat Bagi Meningkatkan Penyertaan Awam’,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan pada kejohanan berkaitan di sini.
Berkhidmat untuk penggal terakhir sebagai Ketua Menteri, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya akan terus mengutamakan agenda memakmurkan ekonomi negeri serta meningkatkan indeks kebahagian rakyat yang merangkumi aspek kehidupan, kesihatan, hubungan kekeluargaan dan jiran tetangga serta aktiviti komuniti.
Sementara itu, Naib Presiden Kelab Bola Sepak Sri Tanjong, Dato’ Dastaghir Mohd. Yassin memberitahu bahawa kelab itu sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Bola Sepak George Town yang ditubuhkan pada tahun 1991.
“Kejohanan dwi tahunan pada kali ini disertai 12 pasukan bagi merebut kejuaraan serta membawa pulang medal, trofi, piala iringan dan wang tunai sebanyak RM1,000,’’ ujarnya.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A Rajendran; Presiden Kelab Bola Sepak Sri Tanjong, Ahmad Shah dan Timbalan Presiden Kelab Bola Sepak Sri Tanjong, Dato’ Shahul Hameed Syed Mohamed turut sertai majlis tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI