Ketua Menteri puji inisiatif pelbagai pihak wujudkan Pusat Ekopelancongan SPU

Admin
KETUA Menteri bersama-sama barisan pemimpin negeri yang lain melawat gerai pameran hasil pertanian sayur-sayuran lokal di Pusat Ekopelancongan SPU, Pinang Tunggal pada lewat petang tadi.

PINANG TUNGGAL – Usaha pelbagai pihak secara berperingkat bersama-sama Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng dalam mewujudkan Pusat Ekopelancongan Seberang Perai Utara (SPU) di sini sejak tahun 2019 diharap akan mempromosikan lagi hasil pertanian dari sekitar daerah tersebut ke seluruh negara.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa merasmikan Karnival Hari Raya Aidilfitri 2022 Peringkat Parlimen Kepala Batas di pusat ekopelancongan tersebut di sini pada 7 Mei.

“Sebagaimana kita maklum, Daerah SPU sangat terkenal dengan penghasilan produk pertanian yang terdiri daripada pelbagai tanaman sayur-sayuran dan buah-buatan yang bermutu tinggi.

“(Semua hasil pertanian) ini bukan sahaja untuk dijual kepada penduduk tempatan, malah juga pasaran dalam negara sehingga diberi jolokan nama ‘Cameron Tanah Rata’,.

“Saya melihat usaha pihak Lay Hock Peng dengan semua rakan strategiknya dalam mewujudkan Pusat Ekopelancongan SPU dan juga penganjuran Karnival Hari Raya Aidilfitri (mulai 7 hingga 12 Mei 2022) adalah suatu permulaan dalam usaha mempromosi sektor berkaitan dan hasil pertanian setempat,” jelasnya.

SESI temuduga secara bersemuka dalam karnival kerjaya yang melibatkan 25 majikan dan 1,500 peluang pekerjaan pada sebelah siang tadi (7 hingga 10 Mei 2022), anjuran PYDC di sini | Gambar : PYDC

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberitahu bahawa dengan mewujudkan industri ekopelancongan daerah persis ‘Sekinchan’ (Selangor), ia sekali gus menyumbang kepada usaha meningkatkan pendapatan isi rumah pelbagai sektor ekonomi rakyat di sini pada suatu hari nanti.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu bahawa pentadbirannya membelanjakan RM1.34 juta pada tahun 2020 dan 2021 bagi menjayakan inisiatif program pertanian bandar demi memastikan rantaian bekalan makanan negeri adalah berterusan.

Selain Hock Peng, turut berucap, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Him yang juga ADUN Paya Terubong.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Dr. Gwee Sai Ling.

Sebelum meninggalkan majlis, Kon Yeow bersama-sama pemimpin negeri lain turut melawat gerai pameran hasil pertanian dan produk usahawan lokal di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI