Ketua Menteri puji Muhammad Hawari cabar diri tawan puncak Everest

Admin
MUHAMMAD Hawari Hashim (kiri sekali) merakamkan gambar kenang-kenangan semasa kunjungan hormat pertemuan Ketua Menteri (dua dari kiri) di Komtar semalam.

GEORGE TOWN – Muhammad Hawari Hashim, 32, yang bakal menyertai Misi Malaysia Everest 2022 pada Mei ini, mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar sebentar tadi.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang Penang (LMNPP), Haryany Mohamad dan Siti Zubaidah Mohd. Lani (jurubahasa isyarat kepada Muhammad Hawari) turut menyertai kunjungan hormat selama hampir 30 minit tersebut.

Dalam pertemuan itu, Muhammad Hawari yang juga kakitangan tetap di bawah LMNPP menzahirkan rasa terharu serta bangga kerana Kon Yeow sudi meluangkan masa menerima kunjungan hormat beliau.

Di samping itu, adalah menjadi harapan bahawa bukan hanya beliau sahaja yang bakal menjadi orang kurang upaya (OKU) pendengaran pertama negara berjaya menawan puncak gunung Everest, malah sekali gus mengharumkan nama Malaysia terutama negeri Pulau Pinang tercinta ini.

“Dijangkakan masa pendakian naik ke gunung itu mengambil masa selama 50 hari, sementara 18 hari untuk turun ke kaki gunung tersebut.

“Setakat ini, saya dimaklumkan belum ada lagi OKU pendengaran dari negara (Malaysia) ini telah sampai ke puncak gunung Everest.

“Sehubungan itu, saya berharap dapat mencabar diri untuk tawan puncak gunung Everest.

“Saya juga berharap tidak akan menghampakan harapan semua pihak yang terlibat dalam usaha mengharumkan nama negara Malaysia dan negeri Pulau Pinang (di sebalik Misi Malaysia Everest 2022 ini),” jelasnya kepada Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Ekonomi dan Komunikasi di sini.

Sebagaimana harapan semua pihak, Kon Yeow berkata pihaknya sendiri berharap Muhammad Hawari bersama-sama sembilan peserta Misi Malaysia Everest 2022 lain dapat menyempurnakan hasrat masing-masing.

“Saya mendoakan (Muhammad) Hawari dan pasukan dari Malaysia selamat menjalani latihan (selama sebulan) dan menyempurnakan pendakian hingga puncak gunung Everest.

“Kita tahu ekspektasi ini amat mencabar dan bukan setiap orang boleh melakukannya, dan saudara (Muhammad) Hawari patut bangga kerana merupakan OKU pertama yang akan menyahut cabaran ini.

“Semoga bendera Pulau Pinang dan bendera Malaysia (Jalur Gemilang) dipacak atas puncak gunung Everest,” serunya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Hawari semalam turut mengadakan kunjungan hormat bertemu Tuan Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Terdahulu, Muhammad Hawari pada bulan Ogos lepas berjaya sampai ke Annapurna Base Camp pada ketinggian 4,130 meter (m) dari aras laut.

Selain Muhammad Hawari, difahamkan, pendaki lain ialah Azim Afif Ishak, 33; Ayu Wanirah Naharuddin, 29; bekas pesilat negara, Rina Jordana Adnan, 42; Ahmad Murshid Maktar, 35; Jack Oh Jin Heng, 37; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 54 serta tiga wakil dari Komando (VAT 69) iaitu Kanang Anak Usin, 42, Pragash Murusgesu, 32, dan Mohammad Hanif Che Ahmad, 28.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH OMAR