Ketua Menteri puji pengurusan aliran trafik ke Jalan Air Terjun sempena Thaipusam

Admin
KETUA Menteri (depan, dua dari kanan) diiringi P. Ramasamy (depan, tiga dari kanan) bersama-sama para pemimpin lain semasa acara jerayawara sempena hari pertama sambutan Thaipusam di Jalan Air Terjun di sini pada 4 Februari 2023.

GEORGE TOWN – Pasca pandemik COVID-19 hampir dua tahun, lebih sejuta pengunjung lokal serta pengembara antarabangsa dijangka membanjiri Kuil Arulmigu Sri Bala Thandayuthabani serta kuil-kuil sekitar Jalan Air Terjun di sini sepanjang perayaan Thaipusam yang bermula pada hari ini hingga 6 Februari 2023.

SIDANG media Ketua Menteri (kiri) bersama-sama P. Ramasamy di sini pada petang tadi.

Selepas mengadakan jerayawara di sini tadi, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji pihak penganjur serta semua agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam menguruskan aliran trafik kenderaan masuk ke negeri Pulau Pinang terutama sekitar Jalan Air Terjun di sini.

“Saya ucapkan tahniah kepada pihak penganjur dan semua agensi penguatkuasaan kerana setakat ini kita (Pihak Berkuasa Negeri) mendapati keadaan lalu lintas masih terkawal.

“(Sehubungan itu,) saya menyeru kepada semua pengunjung perayaan Thaipusam supaya merancang masa dan perjalanan bagi mengelakkan (risiko) kesesakan berlebihan (memandangkan) masih banyak jalan-jalan yang boleh dilalui jika kita merancang,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di sini pada 4 Februari 2023.

Selepas kira-kira dua tahun sejak 2020 menyaksikan tiada perayaan umum secara terbuka peringkat negara dan negeri ekoran pandemik COVID-19, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa pihaknya menganggap dengan pembukaan semula semua sektor berkaitan dalam fasa endemik COVID-19 kini membolehkan perayaan Thaipusam sekitar Jalan Kebun Bunga dapat dilaksanakan seperti biasa.

“(Justeru,) kita berharap perayaan Thaipusam pada kali ini dapat berjalan secara lancar, dalam keadaan aman dan saling menghormati semasa menyertai perarakan (berkaitan) dan sebagainya,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Buletin Mutiara difahamkan, hari ini menyaksikan para penganut agama Hindu mula membawa patung Dewa Murugan ke Kuil Arulmigu Sri Bala Thandayuthabani iaitu Kuil Dewa Murugan terbesar dunia selain di negara India.

Bermula pada pagi esok, jumlah pengunjung terutama penganut agama Hindu dijangka meningkat bagi menyertai acara perarakan banyak pembawa Kavadi yang bernazar bagi tujuan pengampunan dosa masing-masing.

Bercakap dalam sidang media sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy memberitahu bahawa acara jerayawara pada petang ini adalah program biasa yang dilakukan oleh para pemimpin Kerajaan Negeri pada hari pertama perayaan Thaipusam.

“Jadi, pada hari ini, esok dan kemudiannya pada hari ketiga perayaan itu, adalah penting untuk perayaan Thaipusam,” ulasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow, beberapa Ahli Parlimen, ADUN dan sekalian anggota Ahli Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang yang menyertai jerayawara tahunan sempena perayaan Thaipusam pada kali ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING