GEORGE TOWN – Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Ir. Baharin Din hari ini menyerahkan cek replika sumbangan berjumlah RM689,500.00 kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pulau Pinang Selatan.
Beliau memberitahu Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bahawa sumbangan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut akan diagihkan kepada 111 anggota dari Unit Nelayan Gelugor dan Unit Nelayan Batu Uban yang terjejas dek projek penyambungan terus bekalan elektrik daripada Grid Nasional ke Pulau Pinang melalui penghantaran talian atas dari tanah besar Semenanjung yang mana kini sedang dilaksanakan serta dijangka siap pada bulan September 2024.
Berucap selepas itu, Kon Yeow menyatakan bagawa penyampaian sumbangan CSR tersebut sekali gus melambangkan keprihatinan Kerajaan Negeri serta agensi berkaitan terhadap rakyat termasuk usaha-usaha membangunkan komuniti nelayan di Pulau Pinang.
“Sebagai Ketua Menteri, saya mengucapkan tahniah kepada persatuan dan nelayan-nelayan yang terlibat, TNB serta agensi kerajaan kerana dapat berunding dengan baik, saling memahami dan akhirnya mencapai penyelesaian yang membawa manfaat kepada semua pihak,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis berkaitan di Hotel Jen di sini pada 14 Oktober 2023.
Di samping itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pelaburan modal kira-kira RM500 juta yang sedang dilaksanakan oleh TNB tersebut adalah penting bagi menyediakan keterjaminan tenaga di bahagian pulau kini dan pada masa hadapan.
“Keupayaan pembekalan tenaga elektrik seumpama ini adalah amat diperlukan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi meliputi pelbagai bidang termasuk perindustrian, pembangunan insfrastruktur, pengangkutan dan pelancongan.
“Keterjaminan bekalan tenaga elektrik dan kestabilannya adalah bagi memperkasakan pembangunan fizikal termasuk rangkaian perhubungan jalan raya, pengangkutan awam, meningkatkan kapasiti pelabuhan dan juga lapangan terbang,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Turut serta, Exco Infrastruktur, Pengangkutan Dan Digital, Zairil Khir Johari; dan ADUN Batu Uban, A. Kumaresan.
Buletin Mutiara difahamkan bahawa projek pengukuhan bekalan elektrik melalui sambungtara talian atas secara penghantaran ‘monopole’ dengan rekaan unik sepanjang 8.5 kilometer (km) tersebut adalah bersebelahan Jambatan Pulau Pinang.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT