Ketua Menteri puji usaha pulihara Pondok Payung Warisan Simpang Ampat berusia 126 tahun

KETUA Menteri (tengah) bersama-sama barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain memalu gendang sebagai gimik perasmian projek penaiktarafan ‘Pondok Payung Warisan Simpang Ampat’ berusia kira-kira 126 tahun di sini pada lewat petang tadi.

BUKIT TAMBUN – Sempena sambutan Tahun Baru Cina yang kian kunjung tiba, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada lewat petang tadi merasmikan projek penaiktarafan ‘Pondok Payung Warisan Simpang Ampat’ berusia kira-kira 126 tahun.

Turut berlangsung, acara penyalaan lampu tanglung di sepanjang 2.5 kilometer (km) Jalan Persekutuan di sini.

PENYALAAN tanglung di sepanjang 2.5km jalan persekutuan dekat Simpang Empat di sini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang; Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Marlia Mohd. Belia; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan wakil-wakil pemaju firma, Iconic Development Sdn. Bhd..

Semasa berucap, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memuji partisipasi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Al-Insaniah Simpang Empat, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) lokal serta Persatuan Tarian Naga dan Singa Simpang Ampat serta Jabatan Pelancongan, Seni dan Warisan MBSP yang turut serta bagi menjayakan dwi majlis tersebut.

KETUA Menteri

“Saya percaya ini masa yang sesuai kita mengadakan dua majlis di tempat sama (‘Pondok Payung Warisan Simpang Ampat’ dan Acara Nyalaan Tanglung).

“Malah, kita juga bersyukur dengan penglibatan MPKK dan pelbagai pihak lain melambangkan kepelbagaian rakyat Malaysia dan penduduk negeri Pulau Pinang yang mana semua kaum dapat berhimpun meraikan perayaan-perayaan sepanjang tahun di negara kita,” jelasnya dalam majlis berkaitan di sini pada 29 Januari 2022.

Di samping itu, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan kepada Iconic Development Sdn. Bhd. iaitu pemaju bagi projek lot komersial baru dikenali sebagai Iconic Point kerana turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menaik taraf ‘Pondok Payung Warisan Simpang Ampat’ di sini.

TARIAN naga dan singa di perkarangan hadapan tapak projek komersial Iconic Point Simpang Empat di sini.

Difahamkan, ‘Pondok Payung Warisan Simpang Ampat’ yang mempunyai lapan penjuru unik tersebut dibina sejak era kolonial British pada 10 September 1895 sebagai tempat persinggahan kuda serta pernah menjadi hentian bas ikonik untuk penduduk tempatan sebelum ini.

Acara tarian naga dan singa diiringi laluan gendang serta majlis menandatangi plak projek penarafan ‘Pondok Payung Warisan Simpang Ampat’ antara acara menarik yang berlangsung pada lewat petang tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS