BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji usaha Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pulau Pinang dalam menguruskan sisa buangan terutamanya minyak masak terpakai.
Menurut Kon Yeow, usaha tersebut secara tidak langsung menyumbang pada inisiatif memakmurkan Pulau Pinang yang memberi fokus terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Usaha keras Kerajaan Negeri sejak lebih 10 tahun lalu dalam mempromosikan ‘Cleaner, Greener Penang’ dan agenda hijau lain kini semakin mendapat perhatian.
“Bukan mudah untuk mendapat penyertaan rakyat, ia memerlukan ikhtiar yang gigih untuk melibatkan masyarakat (dalam menjayakan agenda hijau).
“Tahniah kepada seluruh anggota kerja TNB Pulau Pinang yang telah berjaya mengumpulkan sejumlah 2,400 kilogram (kg) minyak masak terpakai melibatkan 454 anggota.
“Saya berharap inisiatif ini tidak hanya terhenti di sini sebaliknya dapat diteruskan oleh semua bukan sahaja anggota kerja TNB Pulau Pinang tetapi seluruh negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Kempen dan Pertandingan Kitar Semula Minyak Masak Terpakai Anggota Kerja TNB Pulau Pinang di sini petang tadi.
Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Norazizi Adinan dan Pengurus Besar TNB Pulau Pinang, Ir. Ts. Norhizami Abu Hasan.
Pada majlis sama, Kon Yeow turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Business Support Unit TNB Pulau Pinang dan Persatuan Wanita TNB Malaysia (Pelitawanis) Cawangan Pulau Pinang atas kejayaan mereka menjadi juara dalam Pertandingan Kempen Kitar Semula Uniform TNB dan Pakaian Terpakai sempena Ulang Tahun TNB 75 Tahun peringkat kebangsaan baru-baru ini.
“Saya difahamkan, sebanyak 40.5 tan pakaian terpakai telah berjaya dikumpulkan dan ia merupakan suatu pencapaian yang amat luar biasa,” katanya.
Terdahulu, Norhizami memaklumkan bahawa semua minyak masak terpakai yang dikumpulkan akan dikitar semula sebagai sumber biofuel.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI