Ketua Menteri rayu pemaju projek jalan pintasan Bandar Tasek Mutiara utamakan kepentingan rakyat setempat

Admin
42874b63 9646 4e1a 8bd8 48c049762f2c

SUNGAI BAKAP – Pembinaan jalan pintasan dari Bandar Tasek Mutiara ke Jalan Hijauan Hills sehingga kini belum dapat dimuktamadkan lagi.

c5fdb6de 786e 4f06 9586 c66eed3f3c34
KETUA Menteri semasa sesi sidang media sebentar tadi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, disebabkan proses perundangan terbuka kepada mana-mana pihak, jangka masa proses berkenaan adalah tidak dapat dipastikan.

“Sebentar tadi, saya berkesempatan melawat kawasan Hijauan Hills yang merupakan jalan sambungan ke Bandar Tasek Mutiara seperti dimaklumkan sebelum ini.

“Kita semua sedia maklum isu ini sudah berlarutan beberapa tahun dan juga turut dibangkitkan menerusi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, oleh kerana pihak pemaju enggan menyerahkan tanah kepada Kerajaan Negeri, pelaksanaan projek tersebut dijangka mengambil masa yang panjang jika melibatkan proses perundangan.

“(Dan) walaupun terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Kerajaan Negeri untuk mengambil tanah dan melaksanakan pembinaan, saya menyeru semua untuk meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” ujarnya pada sidang media semasa sesi sembang santai bersama-sama penduduk setempat dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri, Mohd. Balkish Othman serta Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri merangkap Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri, Yap Lee Ying.

33e2d171 58b3 459a bb9a 8fa17aa29360

a598c5ff 9b98 4855 a4b9 e96692ea3008
SEKITAR sesi sembang santai bersama-sama penduduk dan peniaga setempat.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut menyeru pihak pemaju untuk mempertimbangkan semula permintaan projek berkenaan.

“Pihak Kerajaan Negeri memang berniat untuk mengambil alih tanah tersebut dan melaksanakan pembinaan jalan sambungan Bandar Tasek Mutiara ke Hijauan Hills sepanjang 380 meter (m).

“Sehubungan itu, saya ingin mengambil kesempatan ini merayu kepada pihak pemaju untuk mempertimbangkan semula permintaan dan keperluan jalan ini agar dapat dilaksanakan dengan secepatnya.

“Sebagai makluman, kita juga turut menyediakan peruntukan yang cukup bagi pelaksanaan projek ini, malah sepanjang tempoh berkempen juga penduduk turut mengemukakan rayuan agar jalan tersebut boleh disiapkan,” serunya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sementara itu, Mooi Lye turut memaklumkan bahawa pihaknya juga menerima beberapa pandangan dan cadangan bagi menambah baik kawasan Taman Puteri Gunung.

“Terdapat permintaan untuk mewujudkan sebuah dewan serbaguna bagi mengadakan majlis perkahwinan dan acara-acara berkaitan.

“Selain itu, kemudahan awam khususnya pembinaan tapak gelanggang bola keranjang bakal diberi perhatian dan dimasukkan ke senarai permohonan kemudahan awam di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kelak,” ujarnya sambil menyatakan peruntukan yang ada sedikit sebanyak dapat menjalankan projek-projek tertentu.


Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING