BUKIT TENGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Perdana Menteri dalam lawatan ke Pulau Pinang semalam memang mengambil maklum berhubung isu kesesakan trafik yang mendesak di Lebuhraya Utara Selatan iaitu dari Tol Juru hingga Tol Sungai Dua.
Beliau memberi respons itu ketika ditanya sama ada Kerajaan Persekutuan menerima syor untuk mewujudkan projek lebuh raya bertingkat dari Tol Juru ke Tol Sungai Dua.
“Jalan ikut mana pun, trafik sesak, itu suatu keadaan yang begitu mendesak di Seberang Perai ini.
“Terkini, kita (Kerajaan Negeri) dalam perbincangan dengan Kementerian (Pengangkutan), kita akan mengusuli bahawa PLUS (Projek Lebuhraya Usaha Sama Berhad) dan LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia).
“Kita dimaklumkan mereka sedang meninjau dan meneliti isu (kesesakan trafik sesak dari Tol Juru ke Tol Sungai Dua) ini,” responsnya kepada pemberita seusai berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Parlimen Batu Kawan di sini pada 17 Februari 2024.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai dan ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung turut sertai sidang media tersebut.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut mengulas kenyataan Anwar semalam supaya projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) disegerakan secepat mungkin.
“Projek (pembesaran LTAPP) ini dikendalikan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang mana fasa pelaksanaan tidak melibatkan pengambilan balik tanah.
“Cuma, ia melibatkan penempatan semula (penghuni asal) kuarters di atas tapak (cadangan projek pembesaran LTAPP), perkara itu sudah diselesaikan yang mana 50 unit rumah mampu milik (RMM) di Teluk Kumbar telah ditawarkan untuk penempatan semula kakitangan terlibat,” jelasnya sambil memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya akan memainkan peranan secara terhad dalam projek persekutuan tersebut.
Pun begitu, Kon Yeow menyatakan bahawa pihaknya berharap projek pembesaran LTAPP tersebut perlu disegerakan memandangkan yang terjejas dek pandemik COVID-19 beberapa tahun lepas, kini sudah pulih.
“Kita telah berjaya menambahkan (jumlah) penerbangan ke negeri Pulau Pinang, jadi dengan penambahan (penerbangan pesawat penumpang itu) menjadikan keadaan (untuk membesarkan LTAPP) lebih mendesak,” ujarnya sambil memberitahu bahawa projek MAHB tersebut dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun dari sekarang.
Terdahulu, Kon Yeow mengiringi Anwar menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP3) seluas 622.61 ekar dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun.
Semasa berucap, Anwar memaklumkan bahawa beliau menyaksikan sendiri isu kesesakan trafik sekitar Pulau Pinang termasuk dari Tol Juru ke Tol Sungai Dua, sebagaimana dimaklumkan oleh Kon Yeow.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : SIEW CHIA EN