Ketua Menteri sambut baik hasrat FAMA mewujudkan Pasar Tani Kekal Seberang Jaya

Admin
KETUA Menteri (kanan) diberi penjelasan oleh Habibah Sulaiman (tengah) mengenai tahap pelaksanaan projek Pasar Tani Kekal Seberang Jaya, semasa sesi kunjungan hormat di sini pada lewat petang tadi.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyambut baik hasrat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pulau Pinang untuk mewujudkan Pasar Tani Kekal di atas tapak Ekspo Seberang Jaya.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberi respons itu selepas menerima kunjungan hormat Pengarah FAMA Negeri, Habibah Sulaiman dekat pejabatnya di sini pada 24 November 2020.

Dalam pertemua selama kira-kira 40 minit itu, Habibah memberitahu bahawa Pulau Pinang merupakan satu-satu negeri yang masih belum mempunyai pasar tani kekal.

Justeru, beliau berharap pentadbiran Kon Yeow dapat memberikan kelulusan pengecualian merancang dalam tempoh masa terdekat demi memastikan RM2.8 juta peruntukan berwajib di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk pelaksanaan projek tersebut dapat dimanfaatkan sebelum berakhir tahun Belanjawan 2020 ini juga.

Selain itu, Kon Yeow turut mendapatkan maklum balas daripada agensi Persekutuan tersebut mengenai tahap rantaian bekalan makanan serta sektor keselamatan makanan negeri, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN