GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow hari ini sedia mempertimbangkan peruntukan geran pentadbiran tahunan kepada Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP).
Perkara tersebut dinyatakannya dalam satu kunjungan hormat delegasi MBNPP di pejabatnya pagi ini.
“Kita sedia membuka satu ruang di antara MBNPP dan Kerajaan Negeri supaya dapat memainkan peranan sebagaimana ditetapkan oleh Majlis Belia sendiri… jadi saya akan menunggu syor daripada Soon Lip Chee (Exco Belia dan Sukan) berhubung perkara berkaitan.
“Malah, jumlahnya akan diberitahu kemudian, sekurang-kurangnya dari segi pentadbiran licin dan barisan exco (MBNPP) dapat buat perancangan, apa yang dirancang setiap tahun atau pertengahan penggal ini,” ujarnya di hadapan 14 wakil delegasi MBNPP.
Hadir sama, Lip Chee; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Presiden MBNPP, Lim Swee Bok dan Setiausaha Agung MBNPP, Mohd. Hafiz Ali.
Dalam pertemuan kira-kira satu jam tersebut, Mohd. Hafiz turut membentangkan sejarah, aktiviti serta hala tuju MBNPP yang turut meliputi badan-badan gabungan belia lain bagi setiap daerah di Pulau Pinang.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI