Ketua Menteri sertai program sembang santai bersama kakitangan MBSP

TELUK AIR TAWAR – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melapangkan masa menyertai program sembang santai bersama-sama Ahli-ahli Majlis dan kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dekat Robina Eco Park di sini sebentar tadi.

Beliau yang tiba pada jam 6 petang disambut oleh Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod serta ketua-ketua jabatan MBSP sebelum dibawa melihat lukisan mural hasil kreativiti artis tempatan dan merupakan tarikan terbaru di sini.

Ketua Menteri bersama-sama isteri Puan Tan Lean Kee berswafoto di hadapan mural dinding yang dilukis oleh artis tempatan yang menjadi tarikan terbaru di Robina Eco Park.

Pada kesempatan sama, Kon Yeow turut berpeluang menyantuni para pengunjung yang hadir serta meninjau beberapa kemudahan terbaru di Robina Eco Park yang siap dinaik taraf sepenuhnya pada Julai lalu dengan kos RM1.46 juta.

Beliau kemudiannya menyertai jamuan makan malam bersama-sama barisan Ahli Majlis dan kakitangan MBSP dekat Restoran Route 69, di sini.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin.

Ir. Rosnani Mahmod dan kakitangan MBSP bergambar kenang-kenangan bersama Puan Tan Lean Kee.

Kon Yeow dalam ucapan ringkas sebelum itu memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan permohonan MBSP untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi menaik taraf bahagian selatan Robina Eco Park dalam Bajet 2021.

“Kita harap permohonan ini dapat diluluskan kerana projek menaik taraf Robina Eco Park merupakan projek berimpak tinggi tetapi menelan belanja yang sederhana,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Kon Yeow menzahirkan keyakinan terhadap masa depan negeri Pulau Pinang walaupun berdepan tempoh mencabar ekoran penularan pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada banyak pihak.

Bersama-sama sebahagian Ahli Majlis bagi MBSP pada majlis jamuan makan malam.

“Kerajaan Negeri amat yakin masa depan Pulau Pinang lebih cerah sementara negeri-negeri lain sedang bergelut dengan ketidakstabilan kerajaan.

“Kita selalu memimpin dalam usaha melakukan transformasi yang dapat membawa kebaikan kepada masa depan negeri Pulau Pinang, dan diharapkan perubahan ini dapat disambut baik oleh rakyat.

“Bagi merealisasikan apa yang dirancangkan oleh Kerajaan Negeri, semestinya pihak Kerajaan Tempatan perlu memainkan peranan dalam memastikan segala yang dirancang dapat dilaksanakan sedikit demi sedikit sehingga matlamat tercapai.

“Justeru, diharapkan agar Ahli-ahli Majlis dapat juga memainkan peranan demi menyokong usaha Kerajaan Negeri bagi mencapai hasrat yang ditetapkan,” serunya.

Dalam pada itu, Soon Hin yang turut berucap sebelum itu memuji komitmen tinggi ditunjukkan oleh Datuk Bandar MBSP dalam menaik taraf Robina Eco Park.

Menurut beliau, penaiktarafan kawasan rekreasi awam berkenaan dapat meningkatkan lagi kepelbagaian produk pelancongan di negeri ini.

Pandangan bahagian pulau jelas kelihatan dari Robina Eco Park.

“Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang (PTMP) yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri sememangnya merangkumi kawasan Seberang Perai sebagai fokus yang perlu diberi perhatian.

“Robina Eco Park juga antara salah satu tarikan pelancong yang dimasukkan ke dalam pelan berkaitan dalam usaha menjadikan sektor pelancongan di negeri ini lebih mampan dan lestari khususnya semasa pandemik COVID-19,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS