Ketua Menteri seru akar umbi parti hayati falsafah di sebalik ‘yee sang’

cd1495f8 96b2 45b5 8dac f36301b96324 SEKALIAN barisan pemimpin parti menyempurna acara menggaul Yee Sang sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina DAP negeri di Dewan Himpunan Cina Pulau Pinang di sini pada 2 Februari 2025.

GEORGE TOWN – Tahun Baru Cina seakan tidak lengkap tanpa hidangan ‘yee sang’ yang menjadi tradisi acara makan besar bersama-sama sekalian anggota keluarga sempena sambutan perayaan kebudayaan tersebut.

Dengan campuran hirisan sayur-sayuran seperti lobak merah dan lobak putih, halia, kepingan ikan mentah serta kekacang ditumbuk, ditambah pula dengan sos plum dan jus limau, menjadikannya begitu menyelerakan bagi sesiapa sahaja yang bertuah dapat menikmatinya.

‘Yee sang’ merupakan antara hidangan tradisi dan popular tahun baharu dengan membawa maksud tersendiri berdasarkan bahan yang digunakan, sejarah serta sebutan nama makanan itu.

Dalam bahasa Cina, ‘yee’ bermaksud ikan yang juga mempunyai persamaan sebutan dengan perkataan senang dan ‘sang’ bermaksud mentah yang sering disamakan dengan kelahiran semula.

Acara ‘lor sang’ sambil melaungkan ‘lou hei’ yang bermaksud ‘gaul naik’; seumpama doa yang merupakan simbolik kepada permohonan dan pengharapan agar tuah serta rezeki akan bertambah pada tahun mendatang.

1f711ea1 ab7f 4d89 9545 73d3dd037b90
KETUA Menteri

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa segenap kepimpinan dan akar umbi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang serta Kerajaan Negeri hari ini diseru supaya terus menghayati falsafahnya.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menyatakan sedemikian semasa berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran DAP Negeri di sini pada 2 Februari 2025.

“‘Yee sang’ adalah suatu simbolik bahawa melalui usaha-usaha kita (seumpama) ramuan-ramuan yang dimasukkan, diandaikan sebagai sumbangan kita semua yang mana kita membawa sedikit daripada bahagian kita untuk menyumbang dalam (ramuan) ‘yee sang’ berwarna-warni.

“Ramuan ‘yee sang’ membayangkan seumpama kita memberi sumbangan bagi menjayakan suatu matlamat yang penting, menerusi ‘lor sang’ supaya masa depan tahun ini (2025) akan menghasilkan keputusan lebih baik serta kecemerlangan yang boleh dipertingkat lagi.

“Jadi, kita perlu memastikan ‘yee sang’ itu lebih inklusif (kerana) kita mahu bawa apa sahaja ramuan supaya memastikannya lebih enak, lebih sesuai dengan citarasa rakyat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

779f36eb 86ca 4021 9aea 06363f9242ba
SUASANA sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di sini pada petang tadi.

Sebelum itu, Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong dalam ucapannya turut memberitahu bahawa tumpuannya ketika ini adalah mengukuhkan organisasi serta kian kuat mendapat sokongan rakyat di negeri ini.

“Kita (DAP Pulau Pinang) akan terus berusaha dengan konsep ‘dalam’ kena kukuh, ‘luar’ kena kuat (iaitu) tidak ada jalan lain melainkan sekalian akar umbi parti mesti terus kerja kuat, terus beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Di Pulau Pinang, selalu saya tegaskan, dua perkara amat penting untuk rakyat Pulau Pinang iaitu kemajmukan…sifat inklusif adalah salah satu kekuatan kita,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Sementara itu, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng pula dalam ucapannya antara lain terus menyeru Kerajaan Perpaduan Malaysia di bawah teraju Perdana Menteri Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim supaya mencari jalan untuk mengurang beban kewangan serta kos sara hidup yang kian dirasai oleh penggerak sektor perniagaan domestik dan kelompok pekerja bawahan belakangan ini.

“Saya yakin Perdana Menteri kita akan mengambil langkah yang wajar supaya kita (DAP) turut menunjukkan bahawa kita senantiasa bersama-sama dengan citarasa rakyat dalam soal memperbaiki kedudukan kewangan mereka,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih.

Turut berucap, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital yang juga Naib Pengerusi DAP Negeri, Zairil Khir Johari; Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Ramkarpal Singh dan ADUN Komtar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina DAP Pulau Pinang, Teh Lai Heng.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang; Konsulat Besar Republik Rakyat China di Pulau Pinang, Zhou Youbin; Veteran Politik DAP, Tan Sri Lim Kit Siang antara yang hadir pada majlis keramaian tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD