SERI DELIMA – Penggunaan air domestik per kapita (LKH) rakyat Pulau Pinang bagi tahun 2023 berjumlah 284 LKH adalah melebihi purata kebangsaan 237 LKH, dan ia wajar dikurangkan sebanyak 10 peratus menjadi 256 LKH pada tahun 2024.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow membuat seruan itu semasa merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri 2024 yang dianjurkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di Taman Rekreasi Bukit Dumbar dekat sini pada 25 Mei 2024.
“Jadi, orang Pulau Pinang menggunakan air lebih banyak berbanding tenaga elektrik serta minyak (petrol) kerana harga elektrik dan minyak adalah lebih tinggi berbanding tarif air (domestik).
“Sekiranya kita (pengguna air domestik Pulau Pinang) dapat menjimatkan penggunaaan air sebanyak 10 peratus, bekalan air yang mencukupi boleh dihantar ke hujung (paip agihan, EoL) iaitu Teluk Kumbar, Balik Pulau dan lain-lain kawasan yang jauh daripada (teras) sistem penyampaian air,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Menyedari LKH di negeri Pulau Pinang begitu tinggi, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri hari ini melalui PBAPP melabur kira-kira RM1.184 billion dalam lapan projek berkaitan di bawah Pelan Kontigensi Air 2030 (WCP 2030).
“Bukan senang untuk dicapai (kempen pengurangan 10 peratus LKH), maka, kita (Kerajaan Negeri dan PBAPP) juga memberi perhatian kepada projek-projek yang boleh membantu kita menambahkan jumlah air yang boleh kita bekalkan kepada pengguna baik pengguna domestik mahupun pengguna bukan domestik.
“Kita nak tambahkan kapasiti (bekalan air) supaya kita (Pulau Pinang) ada rizab yang cukup untuk menghadapi apa-apa gangguan bekalan (pada masa akan datang),” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut mensyorkan sistem kitar semula air turut dibangunkan oleh sekalian industri yang mana sekali gus dapat mengurangkan kepenggunaan air domestik di Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan turut berucap pada majlis tersebut.
Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Anthony Santiago dan Presiden Water Watch Penang, Prof. Dato’ Dr. Chan Ngai Weng.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN