TANJUNG BUNGA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap dengan reka bentuk ikonik serta mesra alam semula jadi pada projek pembangunan semula Astaka Hillside Tanjung Bungah di sini dapat dipertandingkan dalam Anugerah Hijau Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) kelak.
“Pada awalnya, Kerajaan Negeri menganggarkan bahawa projek pembangunan semula astaka ini menelan belanja RM1 juta, namun kini mencecah RM3.8 juta dengan beberapa komponen tambahan seperti tandas, surau, pejabat pengurusan dan lain-lain kemudahan mesra pengguna kepada rakyat Pulau Pinang serta pengunjung luar negeri.
“Pembangunan semula astaka ini direka bentuk khas dengan unsur-unsur hijau supaya kita dapat sebuah bangunan yang boleh dinyamankan di bawah ‘GreenRE’.
“CMI (Perbadanan Ketua Menteri) bersama-sama syarikat perunding Veritas Arcitect bercadang memasukkan astaka ini dalam pertandingan Anugerah Hijau yang dianjurkan oleh PAM,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Ekonomi & Tanah dan Komunikasi semasa menyampaikan ucapan perasmian majlis tersebut di sini pada 29 November 2023.
Berucap sebelum itu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memberitahu bahawa astaka itu dahulu dikenali sebagai Mutiara Selera dan terbakar dalam kejadian pada 7 November 2020.
Kini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga menyatakan bahawa projek pembangunan semula astaka tersebut menyediakan 40 ruang kedai dan 200 tempat duduk selesa buat pengunjung.
Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol yang juga ADUN Pantai Jerejak; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran dan Pegawai Daerah Timur Laut, Rosli Halim antara pemimpin negeri yang menyertai majlis perasmian pembukaan astaka tersebut tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI