Ketua Menteri sumbang RM15,000, bekal Tafsir Pimpinan Ar-Rahman untuk pelajar

8bbd5e72 e6f8 4a52 83b4 b46ecaf5e250

PERMATANG PASIR – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan kelulusan permohonan pembekalan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman yang bernilai RM15,000 untuk diedarkan kepada enam sekolah menengah harian sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Pauh.

3c85a12d f765 4fbe 8f5a fe4112473ca1
KETUA Menteri (depan, kanan) dalam sidang media berkaitan di sini tadi.

Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu berharap sumbangan berkaitan dapat digunakan oleh para pelajar Kelas Aliran Agama (KAA) khususnya subjek tilawah Al-Quran di sekolah-sekolah berkenaan.

“Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak mampu membantu anak-anak pelajar mendalami tafsir Al-Quran dengan lebih baik,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Gebyar Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Guru Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sama Gagah dekat sini pada 17 Mac 2025.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan itu lagi, pemberian sumbangan peruntukan untuk pembekalan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman tersebut sekali gus membuktikan Kerajaan Negeri hari ini menjalankan tadbir urus tanpa mendiskriminasi mana-mana pihak di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berpendapat bahawa pendidikan agama dan etika dapat mempersiap jati diri serta minda anak-anak muda bagi mengharungi dilema moral yang kian mencabar belakangan ini.

Tambahnya, pendidikan agama dan etika yang berkesan di sekolah juga turut membantu generasi muda supaya lebih terbuka terhadap kepelbagaian perbezaan, menghapuskan kurang kejahilan serta prasangka.

Turut berucap, Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Suhaimi Abdullah.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) merangkap mantan ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil; Penolong Pegawai Daerah (ADO) SPT, Mohd. Hafizun Mohd. Ridowan; Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Permatang Pasir, Muhammad Hamdi Md. Noor; Pengetua SMK Sama Gagah, Nor’Aini Abdullah; Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah SPT, Anuar Rahim dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar Sekolah SPT, Jabri Hassan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS