Ketua Menteri syor 20 peratus hasil kutipan cukai Persekutuan di Pulau Pinang dikembalikan

Admin
img 9781

GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan disyor memulangkan kembali sekurang-kurangnya 20 peratus atau kira-kira RM1.6 bilion dari sumber hasil cukai semasa yang berjaya dikutip dari negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyuarakan cadangan itu semasa menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 29 Mei 2024.

“Sebenarnya, kita (Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri) perlu kaji semula sistem pengagihan peruntukan (Persekutuan) kepada negeri-negeri (kerana) bukan perkara yang asing, dan ada negara memang mempraktikkan (amalan sebegini).

“Kalau kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) boleh minta kepada Kerajaan Persekutuan, dari hasil cukai-cukai yang dikutip dari Pulau Pinang, sekiranya dapat dipulangkan, selain dalam bentuk projek-projek, pulangkan 20 peratus daripada cukai yang dikutip dari Pulau Pinang, balik ke Pulau Pinang setiap tahun, kita akan ada lebih RM1 bilion,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, Kerajaan Negeri akan mendapat peruntukan tahunan kira-kira 20 peratus atau RM1.6 bilion jika mengambil kira rekod kejayaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip hasil cukai antara RM7 bilion hingga RM8 bilion dari Pulau Pinang.

Sebelum itu, Hsiao-Leung meminta Kon Yeow menjelaskan mengenai rancangan Kerajaan Negeri menarik pelaburan langsung asing (FDI) berkaitan sektor semikonduktor ke Pulau Pinang dari tahun 2018 hingga kini.

Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri menerusi agensinya, Invest Penang (IP) memang agresif dalam mengekalkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pelaburan strategik dan utama bagi sektor semikonduktor pada peringkat Asia Pasifik.

Sebagai penanda aras, beliau memberitahu bahawa data yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan nilai pelaburan FDI sektor elektrik dan elektronik (E&E) ke Pulau Pinang bagi tahun 2018 berjumlah RM1.5 bilion, RM9.5 bilion (2019), RM4.2 bilion (2020), RM73.5 bilion (2021), RM5.2 bilion (2022) dan RM53.3 bilion (2023).

“Bagi tahun 2021, apa yang diumumkan (oleh MIDA) adalah RM76 bilion, tetapi saya menyatakan RM73.5 bilion sekarang sebab RM73.5 bilion ini adalah khusus untuk sektor E&E, (tidak termasuk) sektor-sektor lain termasuk sektor perkhidmatan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut menyatakan hasrat Pulau Pinang untuk mendapatkan limpahan peruntukan Persekutuan di bawah Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang berjumlah kira-kira RM25 bilion, seperti diumumkan Perdana Menteri semalam.

“YAB Perdana Menteri (Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim) dalam ucapan terkini semalam mengenai (perancangan) pembangunan semikonduktor negara kita telah menggunakan Pulau Pinang sebagai contoh sebagai usaha menjadikan lonjakan usaha menjadikan Malaysia sebagai hab semikonduktor di dunia ini.

“Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang senantiasa menganggap sektor semikonduktor ini perlu diberikan perhatian.

“Dari berbilion-bilion Ringgit (di bawah Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan, NSS) yang diumumkan YAB Perdana Menteri…RM25 bilion diumumkan semalam sebagai insentif, kita (Kerajaan) juga berharap Invest Penang dan PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) dapat membantu usahawan-usahawan di negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan akses pada insentif-insentif berkenaan,” responsnya pada Soalan Lisan yang dibangkitkan oleh Hsiao-Leung sebelum itu.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB