GEORGE TOWN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengesyorkan supaya beberapa buah feri lama di negeri ini yang masih tidak dijual oleh Kementerian Pengangkutan (MoT) melalui Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dapat ditukar guna untuk tujuan selain mod pengangkutan awam.
Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian semasa mengulas mengenai insiden Feri Pulau Kapas yang karam di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) pada awal pagi Rabu lepas.
“Feri (lama) itu memang dalam keadaan yang tidak boleh digunakan lagi, maka kita (Pihak Berkuasa Negeri) berharap ada beberapa buah feri lama masih dapat dikekalkan untuk tujuan yang lain.
“(Ini kerana) feri yang sudah berkhidmat untuk rakyat Pulau Pinang sejak beberapa puluh tahun itu dapat dikekalkan dalam bentuk kegunaan yang lain,” jelasnya kepada pemberita usai merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1446H/2024M anjuran Central Muslim Society (CMS) di sini sebentar tadi.
Difahamkan, pengoperasi feri baharu Pulau Pinang dilaksanakan sejak 7 Ogos 2023 yang mana sekali gus menjadi mod pengangkutan air utama buat rakyat menyeberang antara bahagian pulau dan tanah besar Seberang Perai.
Sejak itu, kesemua feri lama termasuk Feri Pulau Kapas tidak lagi digunakan dan ‘ditinggalkan’ di sekitar PSAH.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa tiga buah feri lama tersebut telah dibeli oleh pihak tertentu, sementara sebuah feri lama lain akan ‘dikurniakan’ kepada Kerajaan Negeri hari ini.
“Satu lagi feri (lama) akan ‘dikurniakan’ kepada Kerajaan Negeri yang menjalankan RFP (permintaan untuk cadangan) sendiri untuk mengubah suai feri berkenaan bagi tujuan-tujuan lain dan tidak menjadi mod pengangkutan dari Butterworth ke (bahagian pulau) Pulau Pinang.
“Itu, memang perancangannya sejak hari pertama penggantian feri lama dengan feri baharu.
“Saya percaya masih tinggal beberapa buah feri lagi jika tidak diambil (alih) oleh syarikat-syarikat seperti yang kita baca, maka pemiliknya perlu menawarkan untuk disekerap (serta) dijadikan besi buruk,” jelasnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Terdahulu, Pengerusi SPPP, Dato’ Yeoh Soon Hin dalam satu kenyataan antara lain berkata, tindakan segera dengan menambah tali mengikat feri (mooring lines) pada Feri Pulau Kapas yang karam di PSAH pada awal pagi Rabu.
Selain menambat tali, beliau dilaporkan berkata pihak agensi persekutuan tersebut turut memasang ‘iol boom’ bagi mencegah sebarang tumpahan minyak daripada bilik enjin.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN