Ketua Menteri syor KPM lihat isu sekolah perlu dewan selesa

Admin
3a04426e 49c1 48aa 85b4 e3d3a9dadcd1 KETUA Menteri (dua dari kiri) dengan diiringi Goh Choon Aik (kiri sekali) menyantuni warga pendidik seusai Majlis Perasmian Projek Penarafan Dewan SMK Valdor di sini pada 9 Disember 2023.

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Valdor yang siap dinaik taraf dengan peruntukan Ahli Parlimen Batu Kawan berjumlah RM100,000 akan memenuhi keperluan semasa warga pendidik dan murid-murid di sekolah berkenaan.

Semasa menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis berkaitan, beliau mensyorkan Kementerian Pendidikan (KPM) melihat semula aspek reka bentuk bangunan sekolah sedia ada dan baharu supaya memenuhi keperluan semasa guru-guru serta murid-murid.

“Saya nampak pembangunan sekolah baharu banyaknya tidak ada dewan (tidak seperti) bangunan sekolah pada zaman dahulu yang kebanyakannya memang ada dewan, mungkin dalam 20 atau 30 tahun kebelakangan ini sekolah-sekolah yang dibina tanpa dewan.

“Kalau (isu sekolah dibina tanpa kemudahan dewan) ini boleh diberi perhatian oleh Kementerian (Pendidikan), kerana dalam ucapan Pengetua sekolah pun melihat keperluan mempunyai sebuah dewan untuk sesebuah sekolah adalah amat penting.

“(Justeru, projek menaik taraf dewan ini akan membawa) banyak faedah kepada sekolah,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota di Dewan SMK Valdor dekat sini pada 9 Disember 2023.

6449af0d d4a3 442f 8919 53ee72ac8a9e
GAMBAR kenangan bersama-sama warga guru SMK Valdor menjelang tengah hari tadi.

Kata Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, Kerajaan Perpaduan Negeri Pulau Pinang akan terus berusaha memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan negeri, sungguhpun menghadapi kekangan kewangan ketika ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut memuji pentadbiran Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim memulakan inisiatif pemberian peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah untuk tujuan projek penarafan tandas-tandas murid sebelum ini.

277068bb 4c94 42ed ab82 0711dae9d073
(Dari kiri) LEE Kong Hong, Ketua Menteri dan Goh Choon Aik seusai acara menandatangani plak perasmian projek penarafan Dewan SMK Valdor di sini tadi.

Berucap sebelum itu, Pengetua SMK Valdor, Lee Keng Hong menzahirkan penghargaan atas pemberian RM100,000 peruntukan projek menaik taraf dewan sekolah, susulan lawatan Kon Yeow ke sekolah berkenaan pada 22 Julai lepas.

ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Selatan, Ishlahuddin Zakariah; dua Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan serta Ngoh Cheng Hai; Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) Chung Ling Butterworth, Aye Choy; Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) SMK Valdor, Khor Huey Ling dan Pengerusi Alumni SMK Valdor, Hng Joe Lee turut sertai majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN