Ketua Menteri terima kunjungan hormat delegasi TH Wilayah Utara, Negeri

Admin

GEORGE TOWN – Galakan membudayakan amalan menabung, membuat perancangan kewangan bagi tujuan menunaikan ibadat haji dalam kalangan umat Islam serta peningkatan kos haji merupakan antara pengisian yang dibincangkan pada sesi kunjungan hormat delegasi Lembaga Tabung Haji (TH) ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pagi ini.

 

Delegasi TH yang diketuai oleh Pengarah Wilayah Utara TH, Dato’ Mohammad Mokhzani Mukhtar hadir ke Pejabat Ketua Menteri sekitar 8.55 pagi. Turut serta, Pengarah TH Negeri, Maznizan Mamat dan Ketua Pemasaran TH Negeri, Nurul Hanis Yuslina Mohd. Yusri.

 

Pada pertemuan itu, Mohammad Mokhzani memaklumkan bahawa pihak TH kini sedang memfokuskan persediaan keberangkatan jemaah haji Pulau Pinang yang dijangka bermula pada bulan Mei nanti.

 

MOHAMMAD Mokhzani Mukhtar (tengah) dan Maznizan Mamat (bertudung hijau) pada sesi perbincangan di sini.

 

“Tahun ini, seramai 1,033 bakal jemaah haji telah menerima tawaran untuk menunaikan haji dan jumlah tersebut mungkin akan bertambah, bergantung kepada situasi semasa.

 

Malah, pihak kami menjangkakan sebanyak 15 kumpulan bakal jemaah haji akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) pada Mei nanti.

 

“Dari segi kos bayaran haji pula, tahun ini adalah sebanyak RM30,850 seorang (berbanding RM28,632 tahun lepas) susulan peningkatan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan oleh (kerajaan) Arab Saudi.

 

“Walau bagaimanapun, pihak TH ada membantu antara 48 hingga 61 peratus membiayai kos kepada bakal jemaah dari kumpulan B40 dan M40 yang pertama kali menunaikan haji,” ujarnya.

 

Rentetan itu, Maznizan memberitahu bahawa pihaknya amat berharap agar para pendeposit TH sedia ada membuat perancangan kewangan di samping membudayakan tabiat menabung bagi menambah simpanan untuk keperluan haji dan kegunaan masa hadapan.

 

KETUA Menteri menerima penerangan daripada Mohammad Mokhzani Mukhtar (kiri) pada kunjungan hormat di sini.

 

“Sehingga 31 Disember 2022, seramai 324,565 orang atau 43.10 peratus daripada 753,089 umat Islam di Pulau Pinang berdaftar sebagai pendeposit TH.

 

Masih terdapat 428,524 umat Islam di Pulau Pinang yang belum menjadi pendeposit TH, oleh itu, saya dan delegasi TH Pulau Pinang amat berharap agar pihak pentadbiran Kerajaan Negeri dapat membantu TH untuk menambah bilangan pendeposit terutama dalam kalangan penjawat awam di Komtar ini.

 

“Lagipun bayaran untuk membuka akaun dengan TH ada serendah RM2 sahaja dan bagi penjawat awam, caruman boleh dilakukan melalui pelbagai cara, antaranya potongan gaji secara bulanan atau menambah simpan melalui platform dalam talian,” jelasnya.

 

Pada pertemuan itu juga, delegasi TH menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang banyak memberi sokongan dalam memudahcarakan program di bawah TH Pulau Pinang dan memohon tajaan untuk sama-sama membantu bakal jemaah haji di negeri ini.

 

Kon Yeow, pada kesempatan itu, turut berterima kasih atas perkongsian delegasi TH berhubung pengoperasian, tadbir urus dan urusan jemaah haji serta umrah di negeri ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN