Ketua Menteri terima kunjungan hormat Pengarah Kesihatan Negeri baharu

Admin
DR. Fazilah Shaik Alaudin (tengah) diiringi Dr. Azizah Ab. Manan (kiri) semasa kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 20 Februari 2023.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) baharu, Dr. Fazilah Shaik Alaudin di pejabatnya dekat Komtar.

Turut mengiringi, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Datin Dr. Azizah Ab. Manan.

Dalam kunjungan hormat selama hampir 30 minit itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut berkongsi mengenai usaha-usaha pemulihan ekonomi negeri pasca pandemik COVID-19 yang turut melibatkan barisan hadapan petugas kesihatan di hospital-hospital serta hospital medan di negeri Pulau Pinang.

Buletin Mutiara difahamkan, Fazilah, 56, merupakan anak kelahiran Pulau Pinang.

Sebelum ditaklifkan sebagai Pengarah Kesihatan Negeri, beliau merupakan Timbalan Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Pelan Kesihatan Fasiliti & Health di Kementerian Kesihatan (KKM).

Tahniah dan selamat bertugas.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI