Ketua Menteri terima kunjungan hormat Pengarah Pendidikan Negeri baharu

Admin

GEORGE TOWN – Isu kepadatan penduduk setempat di sepanjang Jalan Jelutong ke Jalan Macallum mengakibatkan sekolah rendah dan sekolah menengah sedia ada di sana dijangka tidak mampu lagi menampung kapasiti murid-murid yang kian meningkat pada masa hadapan.

ABDUL Rashid Abdul Samad.

Pengarah Pendidikan Negeri baharu, Abdul Rashid Abdul Samad dalam kunjungan hormat bertemu Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi tadi berharap Kerajaan Negeri hari ini dapat mencadangkan sebidang tanah untuk pembinaan sekolah rendah serta sekolah menengah baru di kawasan berkenaan.

“Keperluan sebuah sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan di sepanjang Jalan Jelutong (ke) Jalan Macallum ada dalam perancangan Jabatan (JPN).

“Kalau boleh, kita berharap pentadbiran Ketua Menteri dapat meneliti tanah di sekitar kawasan ini (untuk cadangan pembinaan sekolah) demi menampung jumlah penduduk yang semakin padat,” jelasnya dalam pertemuan kira-kira lebih 30 minit di Pejabat Ketua Menteri, Komtar pada 3 Februari 2020.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Bahagian Pengurusan Sekolah) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Suhaimi Saidin; Timbalan Pengarah Sektor Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid), Zahari Zakaria; Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sektor Pendidikan Islam), Ustaz Abdul Razak Osman dan Ketua Penolong Pengarah (Sektor Integriti), Faziana Farook turut sertai pertemuan itu.

Dalam reaksi spontan, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembantunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi berkata bahawa hasrat JPN berkaitan akan dipertimbang.

“Kalau di Bandar Sungai Pinang…saya rasa ada tapak diperuntukan (untuk tujuan pembinaan sekolah), untuk dipertimbangkan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Sebelum itu, rombongan Abdul Rashid turut mengadakan kunjungan hormat bertemu Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Di samping itu, mereka turut mengadakan kunjungan hormat bertemu Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS