Ketua Menteri terima kunjungan mesra Pengetua PFS

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow tengah hari tadi menerima kunjungan mesra Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penang Free, Omar Abd. Rashid dekat pejabatnya di Komtar.

Omar yang ditemani mantan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Johari Mohd. Yusof meluangkan masa kira-kira 30 minit berbincang mengenai struktur pentadbiran dan kewangan semasa sekolah.

Turut dibangkitkan dalam pertemuan itu, hala tuju serta pencapaian para pelajar di persada antarabangsa selain isu-isu membabitkan pemulihan bangunan sekolah yang merupakan salah satu bangunan warisan di negara ini.

OMAR Abd. Rashid (tengah) memaklumkan pencapaian terkini Penang Free School kepada Ketua Menteri sambil ditemani Johari Mohd. Yusof, di Komtar.

 

Terdahulu, Kon Yeow yang merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah sekolah tersebut turut menerima beberapa dokumen berkaitan termasuk sesalinan Piagam Asal Rancangan Penubuhan Free School, Prince of Wales, 1816; buku mengenai sejarah penubuhan Penang Free School (PFS), buku tahunan sekolah dan tali leher yang menjadi identiti sekolah berkenaan.

Difahamkan, sekolah yang merupakan sekolah aliran berbahasa Inggeris tertua di Asia Tenggara itu kini mempunyai seramai 894 pelajar berbilang bangsa, iaitu Melayu (39.4 peratus), Cina (15.6 peratus), India (35.0 peratus) dan lain-lain (10 peratus).

Ditubuhkan pada 1816, PFS telah melahirkan ramai tokoh tersohor di serata dunia, antaranya Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; mantan Menteri Luar, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail; Ketua Menteri Pulau Pinang kedua, Tun Dr. Lim Chong Eu dan Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh atau lebih dikenali sebagai Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD