Ketua Menteri teruskan tradisi edar bubur lambuk kepada warga kerja Komtar

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow meneruskan tradisi mengedar juadah bubur lambuk kepada semua warga kerja di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sempena bulan Ramadan pada tahun ini.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, beliau berkata bahawa penganjuran program itu adalah untuk memberi mesej jelas bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa bersama-sama dengan rakyat dalam meraikan apa jua perayaan agama di negeri ini.

Bubur lambuk yang dimasak khas oleh beberapa jawatankuasa kariah Masjid Jamek Simpang Empat Permatang Buloh dekat Sungai Dua.
Antara barisan kepimpina Kerajaan Negeri yang turut hadir.

“Selain itu, inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat memupuk semangat muhibah untuk kita bersama-sama meraikan bulan kerahmatan bagi umat Islam dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan.

 

“Justeru, adalah diharapkan agar program ini dapat dianjurkan dengan lebih meriah serta meluas dengan penglibatan warga kerja Komtar untuk bergotong-royong memasak bubur lambuk pada masa akan datang,” katanya selepas selesai mengedarkan bubur lambuk dekat lobi bangunan Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng; Setiausaha Sulit Kanan Pejabat Ketua Menteri, Muhammad Azrai Mohamad Zaini serta Ketua Pegawai Bisnes Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang, Fakhurrazi Ibnu Omar.

Tambah Kon Yeow, program mengedar bubur lambuk merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Pejabat Ketua Menteri sejak tahun 2018.

“Namun, penganjurannya terpaksa dihentikan pada tahun 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan pandemik COVID-19,” ujarnya.

Difahamkan, sebanyak 500 pek bubur lambuk yang dimasak khas oleh beberapa jawatankuasa kariah Masjid Jamek Simpang Empat Permatang Buloh dekat Sungai Dua diedarkan melalui program tersebut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS