Ketua Menteri teruskan tradisi sumbangan Aidilfitri kepada ATM, PDRM

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan tradisi tahunan setiap kali menjelang bulan Syawal dengan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang.

 

Sumbangan masing-masing berjumlah RM10,000 itu disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kepada Panglima 6 Briged, Markas Briged Keenam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Dato’ Mohd. Akib Yusof dan Ketua Polis Kontinjen Pulau Pinang, Dato’ Mohd. Shuhaily Mohd. Zain di pejabatnya dekat Komtar pada 12 April 2023.

 

Menurut Kon Yeow, sumbangan tersebut adalah bagi mengenang jasa, keprihatinan dan khidmat bakti yang dicurahkan oleh anggota ATM dan PDRM dalam memastikan kesejahteraan, keamanan dan keselamatan negara, khasnya di negeri Pulau Pinang kekal terjamin.

 

Sekalung penghargaan kepada ATM dan PDRM yang selama ini menjalinkan kerjasama yang amat baik melalui pelbagai jawatankuasa di negeri ini.

 

“(Dan) terima kasih kerana memastikan negara dan khasnya Pulau Pinang kekal aman dan sentosa,” ujarnya yang turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua anggota ATM dan PDRM di Pulau Pinang.

 

Pada kesempatan itu juga, Kon Yeow turut menghulurkan sumbangan ihsan kepada waris Allahyarham Koperal Muhammad Zohair Dzulkefle yang terkorban dalam nahas jalan raya di Jalan Tun Sardon ketika dalam perjalanan ke Balik Pulau pada 13 Februari lalu.

 

Sumbangan disampaikan kepada Mohd. Suhaily yang mewakili waris Allahyarham Muhammad Zohair.

KETUA Menteri menerima cenderahati daripada Mohd. Suhaily Mohd. Zain seusai penyampaian sumbangan di Komtar.

Seusai penyampaian sumbangan, Kon Yeow bertukar-tukar cenderahati sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti Mohd. Suhaily sebagai Ketua Polis Pulau Pinang sejak 1 Julai 2021 serta tanda ingatan hubungan kerjasama yang terjalin antara PDRM dan Kerajaan Negeri sehingga kini.

 

Difahamkan, Mohd. Suhaily akan dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu menggantikan Datuk Azmi Abu Kassim yang telah diumumkan pelantikan sebagai Pengarah Pengutusan Bukit Aman baharu, baru-baru ini.

 

Terdahulu, ketika ditemui Mohd. Suhaily menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas sumbangan yang diberikan kepada PDRM Kontinjen Pulau Pinang.

 

MOHD. Shuhaily Mohd. Zain.

“Seperti yang dimaklumkan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri tadi bahawa pemberian sumbangan kepada pasukan keselamatan ini merupakan suatu tradisi yang telah dibuat sekian lama.

 

“(Dan) selaku Ketua Polis Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih, dan yang pasti hubungan antara Kerajaan Negeri dan pihak PDRM sendiri berada pada tahap terbaik dan positif,” katanya yang turut berterima kasih kepada pimpinan Kerajaan Negeri yang banyak menyokong serta membantu PDRM Kontinjen Pulau Pinang termasuk menaja sambutan rumah terbuka di balai-balai di negeri ini.

 

 

Hadir menemani Mohd. Suhaily ialah Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Asisten Komisioner Muhamad Halim Yatim.

 

Dalam pada itu, reaksi sama turut dizahirkan oleh Mohd. Akib yang ditemui sejurus penyampaian sumbangan berkaitan.

 

MOHD. Akib Yusof.

Terima kasih kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana prihatin terhadap semua anggota tentera darat di negeri ini.

 

“Pada dasarnya, saya dan Ketua Menteri sendiri menjalinkan hubungan kerjasama yang baik bermula dengan Operasi Penawar, bencana banjir dan terbaru adalah selesema babi serta menasihati dalam aspek keselamatan.

 

“(Dan) dari segi keselamatan di Pulau Pinang, alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik,” jelasnya yang turut berkesempatan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pimpinan negeri.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS