Ketua Menteri ulangi gesaan campur tangan Pusat lindungi Ulu Muda

Admin
img 20240122 wa0055

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sekali lagi mengulangi gesaan campur tangan Kerajaan Pusat untuk melindungi lembangan Ulu Muda, yang merupakan kawasan tadahan air terpenting di wilayah utara.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadananan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebelum ini pernah mengesyorkan kepada Kerajaan Pusat supaya menubuhkan Lembaga Lembangan Ulu Muda (LLUM) untuk menguruskan sumber air Ulu Muda.

“Saya telah bercakap dengan tiga Menteri Alam Sekitar dan dua Menteri Besar Kedah berhubung perkara ini, malahan saya juga membawa isu ini dalam beberapa siri mesyuarat di Putrajaya.

“Saya percaya LLUM boleh memainkan peranan untuk mengawal sumber air mentah dari Ulu Muda yang penting bagi tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, sekiranya ia ditubuhkan kelak,” katanya ketika menjawab soalan pemberita berhubung dakwaan kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda yang menyebabkan Tasik Muda mengalami masalah mendapan selut.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri juga menuntut penjelasan mengenai punca sebenar pencemaran di Ulu Muda memandangkan Menteri Besar Kedah menafikan bahawa perkara itu bukan berpunca daripada kegiatan pembalakan.

Ini kerana beliau menyatakan bahawa bekalan air di negeri Pulau Pinang juga turut terjejas akibat mendapan selut yang berlaku di sungai Ulu Muda.

“Kita faham pandangan Kerajaan Negeri Kedah iaitu sekiranya mereka tidak mengeluarkan lesen untuk aktiviti pembalakan, maka mereka akan kehilangan hasil.

“Namun, Kerajaan Persekutuan juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan sumber bekalan air mentah dilindungi daripada kegiatan yang menjejaskan ekosistem di lembangan Ulu Muda,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI