Ketua Menteri, Umno Batu Kawan bincang agenda penempatan selesa nelayan

Admin
KETUA Menteri (tengah) bersama-sama pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan yang diketuai Mohd. Noor Ahmad mengadakan perbincangan beberapa isu termasuk syor penempatan selesa nelayan Kampung Kuala Juru, semasa kunjungan hormat di Komtar pada 25 September 2023.

GEORGE TOWN – Cadangan pembinaan kira-kira 200 unit rumah untuk penempatan selesa nelayan serta penduduk lokal di atas tanah milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) seluas 27 ekar dekat Kuala Juru yang dijanjikan 25 tahun lepas wajar dilihat semula oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini.

MOHD. Noor Ahmad

Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Dato’ Mohd. Noor Ahmad berkata demikian semasa mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 25 September 2023.

“Cadangan asal di atas tanah milik LKIM itu adalah untuk membina rumah kepada nelayan dan anak-anak nelayan tempatan, tetapi semasa itu (kira-kira 25 tahun lepas) ada pelbagai halangan yang menyebabkan projek pembangunan tidak dapat diteruskan.

“Kalau boleh, kami nak minta kepada YAB Ketua Menteri kalau boleh melihat semula cadangan pembinaan rumah-rumah nelayan memandangkan kadang-kadang rumah mereka sedia ada duduk sampai tiga ‘keluarga’ (kelamin),” jelasnya sambil menyatakan komitmen untuk memperukuh Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Di samping itu, Mohd. Noor menyatakan bahawa pengoperasian kolam udang secara tanpa kebenaran di atas tanah milik LKIM tersebut pada hujung Ogos lepas turut mendapat bantahan daripada nelayan lokal serta penduduk Kampung Kuala Juru.

“Pada pendapat nelayan tempatan sendiri, aktiviti tersebut juga akan mengganggu ekosistem petak-petak ladang ternakan kerang yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Negeri sendiri di situ,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang.

WAHID Osman

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Wahid Othman yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Kuala Juru turut bimbang sekiranya tanah milik LKIM itu kelak berpindah tangan kepada pihak swasta memandangkan ketika ini pengoperasian kolam ternakan udang tanpa kebenaran dihentikan secara sementara sahaja.

KETUA Menteri

Sementara itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah Komunikasi berkata bahawa Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol dalam kenyataannya pada 14 September lepas antara lain memaklumkan bahawa pengoperasian kolam udang dekat Kuala Juru tersebut telahpun dihentikan buat sementara waktu ekoran bantahan nelayan terbabit.

Menurut beliau lagi, Fahmi turut melaporkan status tersebut dalam Mesyuarat Exco Keraaan Negeri.

BARISAN pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan merakamkan gambar kenangan bersama-sama Ketua Menteri (tengah) seusai kunjungan hormat di Komtar pada petang tadi.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee dan beberapa pemimpin Umno Bahagian seperti Mat Saad Napi (Naik Ketua); Muhammad Zahir Osman (Setiausaha); Noraina Safura Mohamed (Ketua Pergerakan Wanita) dan Yahaya Othman (Ketua Penerangan) turut sertai perbincangan hampir 45 minit berkenaan.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NURATIKAH RAHMAT