Ketua Menteri umum bantuan RM30,000 kepada pusat jagaan anak yatim Sinar Ceria

Admin

MACHANG BUBUK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan bantuan permulaan berjumlah RM30,000 kepada pusat jagaan anak yatim Sinar Ceria dekat Taman Sejahtera di sini.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau menyatakan bahawa pusat jagaan tersebut sebelum ini meneruskan operasi dengan hanya bergantung sepenuhnya kepada sumbangan dana awam.

“Kerajaan Negeri akan cuba menyalurkan peruntukan ini dalam sedikit masa lagi bagi membantu pusat jagaan anak yatim Sinar Ceria dapat meneruskan operasi mereka.

Ketua Menteri beramah mesra dengan kanak-kanak yang ditempatkan di pusat jagaan anak yatim Sinar Ceria ketika lawatan beliau sebentar tadi.

“Pusat jagaan ini memainkan peranan yang penting kerana menjaga kanak-kanak yang tidak ada tempat perlindungan yang mana ia telah mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Oleh itu, kita adakan lawatan ke sini pada hari ini untuk melihat sendiri perkara-perkara yang diperlukan oleh pusat jagaan ini,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas mengadakan lawatan ke pusat jagaan itu sempena Jelajah ❤️PENANG ke Parlimen Bukit Mertajam di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon serta Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), P. David Marshel.

Selain masalah kewangan, Kon Yeow juga menyatakan bahawa pusat jagaan Sinar Ceria turut berdepan isu mencabar iaitu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.

“Ada dalam kalangan kanak-kanak di sini yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan sebagainya kerana mereka datang daripada keluarga bermasalah seperti ibu bapa telah meninggal dunia atau tidak dapat dikesan.

Mendengar penerangan daripada pengendali pusat jagaan berkenaan Anita Vasu.

“Isu ini pastinya akan menjejaskan masa depan kanak-kanak di sini termasuk (menjejaskan) peluang mereka untuk mendapatkan pendidikan.

“Ia melibatkan proses yang sangat panjang tetapi walau bagaimanapun, kita perlu mengambil langkah pertama untuk membantu meringankan beban kanak-kanak kurang bernasib baik ini.

“Oleh itu, saya minta YB Lee Khai Loon dan pegawai dari Bahagian Kewarganegaraan Negeri untuk mengambil tindakan lanjut mengenai permasalahan ini,” serunya.

Difahamkan, Bukit Mertajam merupakan parlimen ketujuh dikunjungi Kon Yeow sempena Jelajah ❤️PENANG selepas Kepala Batas, Permatang Pauh, Tasek Gelugor, Nibong Tebal, Balik Pulau dan Bayan Baru.

Difahamkan, pusat jagaan anak yatim Sinar Ceria ditubuhkan pada tahun 2004 dengan menempatkan seramai 25 kanak-kanak dalam lingkungan umur 4 hingga 18 tahun dan dikenalikan oleh lima orang kakitangan ketika ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : NURATIKAH RAHMAT