Ketua Menteri umum nama CEO, perkenal logo Digital Penang

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini mengumumkan Tony Yeoh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang Sdn. Bhd..

Serentak itu, beliau turut memperkenalkan logo baharu bagi agensi negeri berkenaan.

“Sebagai seorang yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran unik dalam bidang teknologi dan perniagaan, Kerajaan Negeri percaya Tony mampu menggalas tanggungjawab dan memimpin Digital Penang Sdn. Bhd. (Digital Penang) dengan cemerlang

“Seperti mana yang semua sedia maklum, Digital Penang mempunyai empat Asas Tumpuan (Pillars of Focus) yang merangkumi Infrastruktur, Ekonomi, Pemerintahan dan Komuniti.

“Semasa berlakunya COVID-19, Digital Penang telah memulakan projek perintis dengan mengadakan sesi meja bulat maya (virtual roundtable) ‘PLC19 eCrowdsource: Hacking the New Normal’ bagi mengumpulkan penggiat teknologi untuk mencari penyelesaian dalam menempuh cabaran-cabaran yang akan datang.

“Salah satu hasilnya adalah aplikasi ‘Penang Contact Tracer (PGCare)’ iaitu sistem pendaftaran bagi pengesanan kontak bagi memudahkan cara pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh premis perniagaan di negeri ini,” jelasnya pada sidang media di sini 16 Julai 2020.

Hadir sama, Ahli-ahli Lembaga Pengarah agensi berkenaan antaranya, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari dan Pengarah Eksekutif Penang Institute, Dato’ Dr. Ooi Kee Beng.

Kon Yeow dalam pada itu menyatakan bahawa pandemik COVID-19 telah mengubah lanskap serta corak kehidupan manusia.

Menyedari realiti itu, menurut beliau, penubuhan Digital Penang diharap memangkin proses peralihan gaya hidup manusia, mempercepat inisiatif digital serta menggalakkan kolaborasi antara pemain-pemain dalam pelbagai sektor ekonomi digital ke arah menggalakkan pertumbuhan masyarakat secara lebih pantas.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD