Ketua Menteri ziarah jenazah ADUN Sungai Bakap

Admin
3f116f75 de5a 4610 82f7 ac2d43adc90e KETUA Menteri (berbaju putih) mengiringi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (berkod biru, bersongkok) turut ke pusara menyaksikan urusan mengebumikan Allahyarham Nor Zamri Latip di sini pada petang tadi (24 Mei 2024).

SUNGAI ACHEH – Ketua Menteri yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menziarahi jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff di Kampung Sungai Acheh sebentar tadi.

Kon YEOW yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan tiba di perkarangan kediaman Nor Zambri pada 5.34 petang dan sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamuhu.

ADUN Sungai Acheh yang juga Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar, Rashidi Zinol; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz dan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik antara pemimpin Kerajaan Negeri yang turut menziarahi Allahyarhamuhu.

35024d64 2bb7 4b18 9596 337f0408ab61
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di sini tadi.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri serta rakan-rakan Exco serta ADUN, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham YB Nor Zamri Latip.

“Sebenarnya, kita baru kenal selepas Pilihan Raya Negeri pada bulan Oktober (2023) lalu, dan baru sempat melangsungkan sekali persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada boleh November (2023) lalu yang mana saya mendapati YB telah membawa isu-isu kawasan untuk perhatian Dewan dan juga Kerajaan Negeri.

“Selanjutnya, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) akan memaklumkan kekosongan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan selanjutnya selari dengan Perlembagaan Negeri dan undang-undang berhubung dengan pilihan raya,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.

Difahamkan, Allahyarham Nor Zamri, 56, menghembuskan nafas terakhir pada 1.38 petang tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Seberang Jaya.

Beliau meninggalkan seorang balu, Musalmah Yusop, 55, dan enam anak yang berusia antara 30 tahun hingga 14 tahun.

Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) pada tahun lepas, Allahyarham Noor Zamri bertanding atas tiket Perikatan Nasional dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Allahyarham Nor Zamri menentang calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan mendapat 15,433 undi dan 1,563 majoriti undi.

Pada 1 Mei lepas, Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dilaporkan mengesahkan Nor Zamri ditidurkan selepas menghadapi komplikasi di bahagian perut.

Menjelang 6 petang tadi, solat jenazah buat Allahyarham Nor Zamri dilangsungkan di Masjid Jamek Sungai Acheh dan kemudian dikebumikan di tanah perkuburan Islam dekat sini iaitu berhampiran dengan kediamannya.

Salam takziah dan Al-Fatihah!

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI