Ketua Pembangkang puji usahasama dan inisiatif Kerajaan Negeri hadapi penularan wabak COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Muhammad Yusoff Mohd. Noor memuji usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membantu rakyat terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini. 

 

Beliau lazimnya sentiasa mengikuti perkembangan berhubung wabak COVID-19 dan pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu.

 

Malah, Muhammad Yusoff turut mengucapkan sekalung penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang turut sama-sama Kerajaan Persekutuan berusaha memastikan ‘musuh utama negara’ hari ini (COVID-19) berjaya ditumpaskan. 

 

Saya sedar bahawa di saat ini kita perlu bersama-sama atas dasar keprihatinan terhadap nasib rakyat, kita hentikan seketika soal politik kerana yang paling penting adalah berganding bahu mengekang wabak COVID-19. 

 

“Saya mohon (semua pihak) agar bersabar dan sama-samalah kita hadapi keadaan ini dengan langkah-langkah sewajarnya. 

 

“Tidak semua rakyat dapat menikmati kehidupan sempurna, masih ada dalam kalangan mereka yang hidupnya perlu dibantu,” katanya sambil mengharapkan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat membantu kesejahteraan rakyat serta merangsang ekonomi lokal di negeri ini. 

 

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keempat Belas di Dewan Sri Pinang pagi ini. 

 

Dalam pada itu, Muhammad Yusoff turut mengambil peluang persidangan berkaitan mengucapkan jutaan terima kasih serta syabas atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow selaku Ketua Menteri serta seluruh kepimpinan kerajaan yang tampil dengan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang. 

 

“Peruntukan khas (Dana Bantuan Kecemasan) yang disalurkan kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri juga amat dialu-alukan, dan saya sendiri termasuk ADUN Permatang Berangan dan Penaga sudahpun menggunakan dana tersebut bagi penyediaan keperluan barangan harian. 

 

“Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang turut mengagihkan peralatan seperti topeng muka, sarung tangan, hand sanitizer dan termometer untuk kegunaan Pusat Khidmat,” ujarnya.

 

Dalam sesi perbahasan tersebut, Muhamad Yusoff turut melontarkan beberapa cadangan yang melibatkan kepentingan rakyat Pulau Pinang. 

 

Antaranya, bantuan kepada peniaga kecil dan penjaja yang tidak berlesen termasuk pengusaha makanan kecil-kecilan di kampung; bantuan kepada pengusaha perkhidmatan lori membawa barangan dan pekerja kontrak pembersihan sekolah atau bangunan pejabat serta kilang yang terputus pendapatan kerana tidak bekerja. 

 

“Selain itu, bantuan kepada pengusaha sektor pertanian termasuk situasi bekalan air yang dihadapi oleh pesawah. 

 

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana telah bersetuju untuk melakukan pembenihan awan bagi menangani isu kekurangan air di negeri ini,” ucapnya yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan termasuk sukarelawan yang menyumbang bakti sepanjang tempoh sukar ini. 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI 
Video : ALVIE CHENG