Ketua Polis Pulau Pinang sahkan siasatan kes anggota maut tertembak diri siap, lengkap

Admin
63c1f2ea 19d9 442f 8373 c75151499415 HAMZAH Ahmad memberi respons dalam sidang media berkaitan, seusai Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran PDRM Kontinjen Pulau Pinang di Dewan Temenggung, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dekat Bertam pada 13 April 2025.

BERTAM – Hasil siasatan kes seorang anggota polis dari Kontinjen Negeri yang tercedera parah dan meninggal dunia selepas dipercayai tertembak diri sendiri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Selasa lepas, telah lengkap dan selesai.

Ketua Polis Negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati mendiang yang berusia 58 tahun dan bertugas di Cawangan Kem Komandan IPK Pulau Pinang berkenaan ada masalah peribadi termasuk kemungkinan berkaitan kewangan.

“Siasatan kita telah selesai, jadi kita (Polis Diraja Malaysia, PDRM) telah mendapatkan kenyataan yang ada untuk melengkapkan siasatan.

“Mendiang pun telah selamat dikebumikan…(hasil siasatan mendapati) ada masalah peribadi, mungkin sedikit sebanyak ada kaitan dengan kewangan,” jelasnya dalam sidang media berkaitan semasa ditemui dalam Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran PDRM Kontinjen Pulau Pinang di Dewan Temenggung, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dekat Bertam pada 13 April 2025.

Selain itu, beliau berkata bahawa siasatan berkaitan klip video tular yang memaparkan insiden buli membabitkan sekumpulan pelajar di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dekat Nibong Tebal juga telah siap dan lengkap serta diserahkan kepada pihak Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.

“Kes (buli di) MRSM, kita dah lengkapkan siasatan, jadi, buat masa ini kertas siasatan telah dimajukan ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya Negeri Pulau Pinang untuk arahan dan tindakan lanjut.

“Ramai (iaitu) beberapa saksi apabila sebut siasatan, maka akan merangkumi semua aspek, saya tidak boleh perincikan tetapi kita telah sampai tahap lengkapkan siasatan untuk arahan lanjut,” jelasnya lagi sambil memberitahu pasukan penyiasat turut meneliti laporan perubatan berwajib mangsa kes buli tersebut.

Berhubung kes seorang lelaki warga Myanmar maut diserang dan ditetak di sebuah restoran di Taman Sepadu Jaya pada 7 April lepas pula, beliau berkata masih dalam siasatan polis.

“Masih dalam siasatan; kita dapat mengenal pasti beberapa individu yang dikaitkan dalam siasatan.

“Setakat ini, lapan orang telah kita tangkap, enam lagi dalam proses susulan,” jelasnya sambil memberitahu mereka yang disiasat dalam kes tersebut adalah melibatkan bukan warganegara dan warganegara.

Sebelum pada itu, Hamzah dalam ucapannya antara lain berkata, dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri; serta Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri; menambah seri pada Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran PDRM Kontinjen Pulau Pinang.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB